PUTRAJAYA, – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik atau komorbid supaya segera mendapatkan suntikan vaksin influenza percuma yang ditawarkan di bawah Program Imunisasi Influenza Warga Emas.
Program yang telah bermula sejak 18 Februari lalu menyasarkan golongan berisiko tinggi dan sehingga kini mencatat kadar pengambilan sebanyak 65.16%. Namun, masih terdapat 56,237 slot janji temu vaksinasi yang belum digunakan.
Vaksin boleh diperoleh secara percuma di 649 Klinik Kesihatan (KK) terpilih di seluruh negara sehingga akhir Ogos 2025. Perkhidmatan ini merangkumi kos vaksin, peralatan serta khidmat kesihatan berkaitan.
“KKM menggalakkan warga emas yang hadir untuk rawatan susulan penyakit kronik agar mengambil peluang mendapatkan vaksin influenza secara percuma sekiranya belum ditawarkan,” menurut kenyataan rasmi kementerian itu hari ini.
Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera, namun bagi warga emas yang tidak mempunyai akses digital, mereka boleh hadir secara walk-in ke Klinik Kesihatan yang disenaraikan tertakluk kepada ketersediaan slot.
KKM turut menasihatkan warga emas yang menghidap penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung atau pernafasan kronik agar tidak melepaskan peluang ini untuk mendapatkan perlindungan menjelang musim jangkitan.
Langkah ini penting bagi mencegah komplikasi serius dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
Program ini turut mencerminkan komitmen KKM dalam menjayakan nilai MADANI seperti Kesejahteraan, Keyakinan dan Ihsan, melalui perkhidmatan kesihatan yang inklusif dan tidak meminggirkan golongan luar bandar atau yang kurang akses kepada kemudahan digital.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi KKM, media sosial kementerian, atau dengan hadir sendiri ke Klinik Kesihatan berdekatan.