Piala FA Penentu Nasib Louis Van Gaal Di Old Trafford

“Biar main buruk, janji menang.” Itu strategi yang perlu diterapkan oleh pengendali, Louis van Gaal, apabila Manchester United membuat perhitungan dengan Crystal Palace dalam final Piala FA Inggeris.

 

Tatkala The Red Devils terlepas slot terakhir ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan yang diiringi beberapa persembahan kurang memuaskan, Van Gaal semakin tertekan menjelang final di Wembley.

 

Pengurus dari Belanda itu hampir pasti dipecat sekiranya United gagal menamatkan penantian 12 tahun untuk menjulang Piala FA dan gelaran domestik pertama sejak tiga tahun lalu.

 

Bagi Van Gaal, dia bersedia melakukan apa sahaja untuk memastikan trofi Piala FA menjadi milik penduduk Manchester.

 

“Prestasi kami berdasarkan pelbagai faktor yang berlainan. Perlawanan yang menarik memerlukan dua pasukan yang bersedia untuk menyerang.

 

“Kami mahu mempamerkan corak permainan yang baik, menjaringkan gol cantik tetapi kami sedar bahawa kemenangan 1-0 akan memberi kami trofi itu,” kata Van Gaal.

 

Sementara itu, Crystal Palace mempunyai rekod yang amat mengecewakan berdepan United setelah tewas 15 kali dalam 20 perlawanan — termasuk final Piala FA 1990 yang menyaksikan United mencetak kemenangan 1-0.

 

Pengendalinya, Alan Pardew, mahu barisan pemainnya menampilkan corak permainan ‘street football’ berdepan The Red Devils.

 

“Ini merupakan peluang yang sangat baik untuk kami. Kami telah pun sampai ke final, kini masanya untuk menggengam trofi Piala FA,” tegas Pardew. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.