Jawatan Presiden, Timbalan Presiden PAS, Saksikan Satu Lawan Satu

Kuala Lumpur Pemilihan PAS Jun depan bakal menyaksikan perlawanan satu lawan satu melibatkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi mengumumkan perkara itu pada sidang medianya di Ibu Pejabat PAS, pagi tadi.

 

Ujarnya, seperti yang diketahui umum, jawatan Presiden akan ditandingi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pencabarnya bekas Naib Presiden, Ahmad Awang.

 

Manakala calon jawatan bagi Timbalan Presiden PAS melibatkan menyandangnya Mohamad Sabu dan ulama terkenal parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

 

Bagi jawatan Naib Presiden pula menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub, Idris Ahmad, Datuk Iskandar Samad, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

 

Ketika ini jawatan itu disandang Husam, Salahuddin dan Tuan Ibrahim.

 

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz pula sah mencabar penyandang jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

 

Sementara bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan pencabarnya, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

 

Penyandang Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff akan dicabar Nuridah Salleh bagi jawatan tersebut manakala Dr Siti Mariah Mahmud dan Dr Rosni Adam akan merebut kerusi timbalan ketua Dewan Muslimat.

 

Jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pula menyaksikan 55 calon bertanding merebut kerusi tersebut.

 

Bagi jawatan ahli jawankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, calon yang akan bertanding hanya akan diumumkan selepas proses penyerahan surat jawapan selesai.

 

Calon yang layak bertanding jawatan-jawatan tersebut perlu mengemukakan jawapan mereka selewat-lewatnya pada pukul 5 petang Isnin depan, ujar Asmuni.

 

Asmuni dalam pada itu mengaku terguris perasaan apabila kewibawaannya mengelolakan pemilihan parti itu dipertikaikan.

 

Beliau malah berkata sedia dipecat daripada jawatan itu jika terbuka beliau berat sebelah.

 

“Kalau ada cadangan yang baik sila bagi cadangan, jangan main tembak sahaja.

 

“Lainlah kalau kamu tidak yakin dengan saya sebab saya dilantik oleh Jawatankuasa Pusat (PAS).

 

“Saya sebenarnya sebagai manusia rasa terguris, Kalau awak tak yakin, sila pecat saya,” katanya yang kelihatan beremosi.

 

Beliau diminta mengulas kenyataan pemimpin PAS Kuala Nerus M Shukrimun Shamsuddin yang menggesanya meletak jawatan kerana didakwa berat sebelah.

 

Yang dipertuan PAS kawasan itu berkata terdapat suara menuntut Asmuni ditukar selepas rekod kerjanya pada sesi lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.