PRK Teluk Intan Mahu Pilih Yang Cantik Atau Kacak

LIHAT kepada komen-komen dalam media dan blog, jelas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan menjadi tumpuan seluruh negara.

Sejak nama calon diumumkan pada 17 Mei lalu, banyak isu lain bagaikan tenggelam.

Kempen PRK di Bukit Gelugor, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, melibatkan antara lain, Ramkarpal Singh Deo, pun jadi hambar.

Kontroversi isu jawatan MB Terengganu yang mulanya panas apabila Datuk Seri Ahmad Said keluar Umno kerana diarahkan letak jawatan MB lima hari sebelum majlis persandingan anaknya pada 17 Mei lalu, disusuli dua Adun, juga mencapai ‘happy ending’ dalam tempoh dua hari sahaja, selepas mereka kembali ke pangkuan parti.

Apakah kebetulan atau kerana yang bertanding di Teluk Intan itu seorang wanita muda yang cantik dengan seorang veteran yang ‘handsome’ tidaklah dapat dipastikan, tetapi yang jelas drama menyusuli pertembungan dua calon itu cukup menarik.

Pertama, seluruh negara mahu melihat apakah Dyana Sofya Mohd Daud, peguam berusia 27 tahun yang hanya menceburi kancah politik melalui DAP tiga tahun lalu mampu menumbangkan veteran berpengalaman luas, Datuk Mah Siew Keong, 53, Presiden Gerakan, yang pernah timbul dan tenggelam sebagai calon BN.

Kedua, ramai yang menanti sama ada untuk meraikan atau meratapi, tidak lama lagi, nasib ibu Dyana, Yammy Samat, yang berani menyokong anaknya, sedangkan beliau sendiri ahli Umno Bahagian Ipoh Barat.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah berjanji isu itu akan diperjelaskan semasa kempen. Penamaan calon hari ini dan pengundian pada 31 Mei depan.

DAP jelas mempertaruhkan Dyana dengan harapan menarik pengundi-pengundi muda, di kawasan yang sudah menjadi milik parti itu sejak dua PRU lalu.

Tumpuan yang diterima wanita muda ini jelas apabila orang BN sendiri membuat komen mengenainya.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, umpamanya, mengingatkan penyokong BN supaya tidak terlalu obses dengan calon DAP itu.

Dalam tweetnya sebelum itu, beliau berkata, PRK bukan  pertandingan ratu cantik. Yang lebih penting ialah kewibawaan.

 Dalam sidang media di Teluk Intan semalam, beliau disebut sebagai berkata Dyana adalah muka baharu yang tidak berpengalaman berbanding Siew Keong.
“Pengundi Teluk Intan jangan melihat pada umur sahaja, tetapi lihat juga kebijaksanaan,” katanya.

Teluk Intan mempunyai kira-kira 60,000 pengundi, 38 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan bakinya India dan lain-lain. BN meletakkan Siew Keong, kerana pengalamannya serta statusnya sebagai pemimpin yang lahir dan dikenali ramai di Teluk Intan.

Tumpuan yang diterima oleh PRK itu kini berikutan pencalonan Dyana tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa DAP juga sebenarnya mempunyai masalah dalaman, termasuk dari segi pemilihan calon.

Menurut sumber, ada pihak dalam parti itu kecewa dengan pemilihan orang baru seperti Dyana, kerana mengetepikan beberapa pemimpin parti dari kawasan itu yang lebih lama.

Di samping itu, pengumuman Dyana tidak akan menyokong bil berkaitan hudud yang bakal dibentangkan Pas September depan di Parlimen jika memenangi PRK ini tentunya akan menjejaskan sokongan dalam kalangan orang Melayu, walaupun beliau mendapat sokongan Pas.

Apa pun, kedua-kedua calon berhadapan dengan risiko masing-masing dalam PRK Parlimen Teluk Intan ini.

Siew Keong perlu bertungkus-lumus untuk merampas kembali kerusi itu sebab jika beliau tewas lagi kali ini, berakhirlah masa depan kerjaya politiknya.

Bagi Dyana, kemenangan ini akan melonjaknya kerjaya politiknya ke depan , tetapi jika kalah, harapannya untuk buktikan beliau diterima sebagai seorang wanita muda Melayu yang mampu menyemarakkan apa yang dikatakan perjuangan tidak mementingkan kaum dalam parti dominan Cina dan bukan hiasan luaran parti itu bagi mengaburi mata orang Melayu akan terbantut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.