PAS sokong Dyana, Walau Tolak RUU Hudud

  • Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan parti itu menyokong Dyana Sofya Mohd Daud dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan walaupun calon DAP itu berikrar akan menentang pembentangan hukum hudud di Parlimen sebagaimana yang diperjuangkan mereka.

    Katanya, PAS menghormati hak Dyana (kiri) untuk membuat kenyataan berpihak kepada partinya walaupun ia bersifat penentangan terhadap perjuangan PAS, lapor Sinar Harian.

    “Ini bukan perkara baru. Merujuk pada DAP, sejak hari pertama kita kenal mereka memang tidak pernah sokong hudud.

    “Namun ini tidak menggugat pendirian PAS untuk terus bersama DAP dalam perkara-perkara yang diperjuangkan bersama, juga tidak akan menjejaskan usaha PAS untuk terus perjuangkan hudud.

    “Dyana calon DAP, tentu dia sokong pendirian parti dia. Takkan dia buat kenyataan sokong PAS,” katanya seperti dipetik akhbar harian itu.

    Tambah Salahuddin, hudud bukan satu isu besar yang boleh menjejaskan sokongan penduduk Teluk Intan kepada Pakatan Rakyat.

    “Bagi PAS kita tidak ada masalah. Hudud tidak menggugat kerjasama kita dalam PR dan bukan isu besar dalam PRK ini,” katanya.

    Dalam wawancara yang disiarkan Malaysiakini semalam, Dyana menyatakan ikrarnya untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen, untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

    Katanya, beliau akan berpegang pada ikrar tersebut sekiranya memenangi kerusi Teluk Intan.

    Peguam muda itu bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau tidak menentang hudud, namun, pelaksanaannya di Malaysia tidak boleh dijalankan selagi isu sosio-ekonomi tidak diatasi.

    Beliau juga berkata penentangannya itu tidak akan membuatkan beliau “kurang Islam”.

One thought on “PAS sokong Dyana, Walau Tolak RUU Hudud

  • May 21, 2014 at 12:46 am
    Permalink

    jika kita yakin dengan penuh iman dan taqwa pada Allah dan percaya pada setiap pengertian ayat-ayat yang terkandung dalam Al-Qur’an tiada akan ada sikap ‘was-was’ dan ‘keraguan’ tentang kebenaran wahyu yang diturun pada Nabi Muhammad S.A.W untuk dipatuhi dan laksanakan dalam kehidupan manusia…akan tiada istilah tidak @ tunggu dulu @ tidak sesuai kecuali bagi mereka yang engkar pada perintah Allah.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.