Dr Asri Bebas Tuduhan Mengajar Tanpa Tauliah

GOMBAK: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa melepas dan membebaskan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah pada November 2009.

Hakim Shaiful Azli Jamaluddin ketika membacakan penghakimannya berkata, pihak pendakwa iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) gagal membuktikan wujudnya kes terhadap tertuduh.

Mahkamah juga mendapati pendakwaan terhadap Mohd Asri adalah lemah tanpa disokong bukti-bukti lengkap yang boleh disabitkan bersalah kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Pada 18 November 2009, Mohd Asri dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) antara jam 8.10 dan 9.45 malam, 1 November 2009 di kediaman di Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.