PETALING JAYA – Gerakan Akademik Malaysia (GERAK) tampil mempertahankan akhbar Sin Chew Daily yang menjadi sasaran kecaman hebat susulan insiden penerbitan grafik Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit, yang disifatkan sebagai satu kesilapan teknikal.
Dalam kenyataannya, GERAK menzahirkan kebimbangan terhadap reaksi melampau daripada sesetengah pihak yang menuntut hukuman berat, termasuk penahanan editor serta desakan agar kewarganegaraan ditarik balik ke atas individu yang mempertahankan akhbar berkenaan.
“Kami bimbang dengan suara-suara ekstremis, sama ada dalam kalangan majoriti Muslim atau yang lain, yang menuntut hukuman tidak setimpal, termasuk pelucutan kewarganegaraan hanya kerana satu kesilapan yang tidak disengajakan,” tegas GERAK.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai apabila Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi bendera Malaysia yang hanya memaparkan jalur dan bintang pecah 14 tanpa simbol bulan sabit di halaman depan akhbar itu pada Selasa lalu.
Walaupun akhbar itu segera memohon maaf dan menjelaskan ia berpunca daripada ralat teknikal, dua editor kanan – termasuk ketua editor dan timbalan ketua sub-editor – telah ditahan polis untuk siasatan, selain digantung tugas sementara.
“Tindakan memohon maaf, membetulkan kesilapan dan berjanji memperketatkan kawalan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penerbitan seharusnya mencukupi untuk menamatkan isu ini,” kata GERAK.
Menurut GERAK lagi, tindakan keras terhadap Sin Chew mencerminkan kegagalan mendidik masyarakat mengenai nilai keadilan dan timbang rasa dalam menangani kesilapan manusia.
“Untuk terus menuntut hukuman tambahan adalah satu bentuk keganasan ideologi yang regresif – memecahbelahkan dan berbahaya, serta bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut keseimbangan antara keadilan, belas ihsan dan kasih sayang.”
Sebelum ini, beberapa kumpulan termasuk Veteran UMNO dan Perkasa mengecam ahli akademik Prof. Dr. Tajuddin Rasdi yang mempertahankan Sin Chew, sehingga mencabarnya melepaskan kewarganegaraan. Tajuddin menyuarakan kebimbangannya terhadap penahanan editor dan menolak pendekatan menghukum yang keterlaluan.
GERAK dalam kenyataannya menegaskan pendirian mereka untuk terus mempertahankan kebebasan akademik, keadilan sosial dan semangat muhibah antara kaum dalam menangani isu-isu yang menyentuh sensitiviti negara.