AYER KUNING – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menyatakan keyakinannya bahawa sokongan generasi muda akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang dijadualkan pada 26 April ini.
Menurut beliau, gerak kerja pemuda telah bermula sebulan lebih awal dan kempen kini giat dijalankan secara dekat dengan masyarakat, khususnya anak muda, melalui pendekatan yang lebih mesra dan bersasar.
“Sebenarnya program ini adalah pelangsungan daripada sebelum-sebelum ni. Pemuda kita dah bekerja daripada sebulan sebelum… tinggal 6 hari saja lagi, dan semakin dekat dengan D-DAY (hari mengundi), semakin banyak program,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sebuah program kempen di Ayer Kuning.
Dr Akmal turut memaklumkan bahawa sambutan terhadap program yang dianjurkan amat menggalakkan, dengan kehadiran lebih 200 orang dalam program peringkat pusat daerah mengundi (PDM) itu sahaja.
“Kita tak pergi buat kempen secara besar-besaran, tapi kita kempen untuk dekat di hati mereka… kita tengok dari segi apa yang mereka minat,” tambah beliau.
Program hari tersebut turut merangkumi pelbagai aktiviti seperti solat Subuh berjemaah, pertandingan sepak takraw, dan memancing — strategi yang menurut beliau berjaya menarik kehadiran anak muda dan masyarakat setempat.
Mengulas dakwaan kononnya jentera BN ‘merajuk’, Dr Akmal menafikan perkara itu dan menegaskan kehadiran kuat jentera Pemuda dari seluruh negeri Perak sejak awal lagi adalah bukti komitmen yang tinggi terhadap kempen.
“Saya rasa kalau mengajuk, tak nampak seramai mana hari ini… seluruh Ketua Pemuda Bahagian dalam Negeri Perak pun dah berkampung lama dah,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru pengundi, khususnya anak muda di Ayer Kuning yang berada di luar kawasan, agar pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian nanti.
“Saya menyeru untuk balik ramai-ramai… ini tanggungjawab kita untuk memilih pemimpin di kawasan kita. Kalau kita salah pilih, kita kena tunggu bertahun-tahun nak tukar pemimpin,” katanya lagi.
Dr Akmal turut mengingatkan pengundi supaya memilih calon yang dekat dengan rakyat dan mampu berkhidmat, bukan sekadar tampil sewaktu pilihan raya sahaja.
“Pilihlah pemimpin daripada kerajaan supaya dia boleh bantu masyarakat kampung. Pemimpin yang hanya datang masa pilihan raya ni, kita humbankan saja,” tegasnya.
Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon PN Abd Muhaimin Malek, dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS. Hari mengundi ditetapkan pada 26 April 2025, manakala pengundian awal berlangsung pada 22 April.