KUALA LUMPUR – 12 projek Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah disenaraikan sebagai finalis untuk Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.
Menurut MCMC dalam kenyataan, Hadiah WSIS anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan disokong agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain, merupakan platform diperakui di peringkat global bertujuan mengiktiraf inisiatif digital yang memberi impak serta menyumbang kepada pembangunan mampan.
“Malaysia telah mencatatkan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pembangunan digitalnya.
”Pengiktirafan oleh ITU mencerminkan komitmen berterusan negara untuk memacu keterangkuman digital dan mempromosi inovasi mampan, sejajar dengan aspirasi global di bawah rangka kerja WSIS,” menurut kenyataan itu.
MCMC menyifatkan dipilih daripada ratusan penyertaan seluruh dunia sebagai satu pencapaian hebat.
Selain itu, Malaysia juga dinamakan sebagai Rakan Strategik Platinum pada WSIS+20 tahun ini, satu penghormatan yang menekankan pengaruh negara semakin meningkat dalam perbincangan digital global dan mengukuhkan kemunculan Asia Tenggara sebagai kuasa digital serantau.
Menurut MCMC, projek yang disenarai pendek itu merangkumi pelbagai Garis Tindakan (AL) WSIS dan amat selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) PBB.
Projek terpilih termasuk Kesalinghubungan Luar Bandar Ditakrifkan Semula: Bagaimana SMART600 Membentuk Masa Depan Sarawak, MetaHRise: Mentransformasi Suai Tugas (Onboarding) dan Pembangunan Bakat melalui Metaverse serta Pusat Penyebaran Maklumat Kebangsaan.
”Selain itu, ialah Program Masyarakat Tanpa Tunai MCMC, Kiosk Telekesihatan Pintar Sihat Xpress dan Memperkasakan Komuniti untuk Penggunaan AI yang Sihat dan Beretika menerusi program MCMC Microsoft AI TEACH,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, susulan kejayaan pada 2023 dan 2024, senarai pendek tahun ini adalah berdasarkan reputasi Malaysia yang semakin meningkat sebagai peneraju serantau dalam menggunakan ICT untuk pembangunan inklusif.
”Dengan sokongan padu merentas kementerian dan agensi kerajaan, projek-projek ini mendorong ke arah masyarakat yang lebih terhubung secara digital dan diperkasakan.”
Undian awam untuk Hadiah WSIS 2025 kini dibuka dan rakyat Malaysia digalakkan untuk mengambil bahagian dan menyokong usaha tempatan di pentas dunia dengan mengundi projek yang memberi inspirasi kepada mereka.- BERNAMA