Sultan Selangor Bertegas Tidak Memihak Mana-Mana Parti

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataannya bertitah dan menegaskan baginda dan Istana Selangor sentiasa tidak memihak mana-mana parti politik dan sentiasa bersikap berkecuali terhadap parti politik di negara ini.

Sultan Shafaruddin merujuk menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bulan depan, turut menegaskan baginda tidak ada kaitan dengan apa juga bentuk persaingan politik serta tidak mencampuri urusan itu sama ada di peringkat negeri mahupun negara.

“Beta juga menegaskan bahawa kedudukan beta sebagai seorang raja adalah mengatasi politik dan tidak seharusnya dilihat menyokong mana-mana parti politik.

“Beta sentiasa percaya dan menghormati kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak untuk mewakili mereka, selaras dengan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia ketika ini,” titah baginda dalam perutusan khas yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani di sini.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan rakyat terutamanya di Selangor agar tidak cuba menimbulkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan dan kekacauan ketika musim pilihan raya umum.

“Beta berharap agar PRU14 ini dapat dijalankan dengan lancar serta dalam keadaan aman tanpa sebarang kekecohan dan huru-hara dalam kalangan rakyat,” titah baginda.

PRU14 bakal berlangsung pada 9 Mei ini dengan penamaan calon pada 28 April dan pengundian awal 5 Mei depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.