Petronas Menang Anugerah Majikan Paling Menarik 2018

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dinobatkan sebagai pemenang anugerah Majikan Paling Menarik di Malaysia bagi 2018 oleh Randstad Employer Brand Research, sebuah agensi pengambilan pekerjaan utama global.

Syarikat minyak dan gas nasional itu melonjak satu anak tangga untuk meraih anugerah tersebut selepas berada di tempat kedua bagi dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Berdasarkan kepada keputusan daripada Randstad Employer Brand Research, tiga majikan paling menarik utama kekal tidak berubah daripada tahun lepas, dengan Shell Malaysia dan Nestle (Malaysia) Bhd masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Pengarah Negara Randstad Malaysia, Ryan Carroll berkata dalam tempoh tiga tahun agensi itu menjalankan kajian tersebut, lebih banyak syarikat telah mula menilai dan mereka bentuk semula jenama majikan mereka bagi menikmati manfaat yang dibawanya kepada usaha menarik dan mengekalkan pekerja mereka.

“Ini terutamanya benar bagi Malaysia di mana syarikat-syarikat sentiasa bersaing untuk mendapatkan pekerja, mengekal pekerja terbaik daripada kumpulan pekerja yang sangat terhad,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah tersebut dikurniakan kepada tiga syarikat utama yang menerima skor daya penarik tertinggi dalam kajian majikan mana yang pencari pekerjaan di Malaysia mahu bekerja.

Pemenang bagi kategori ini dipilih daripada 75 majikan terbesar di Malaysia berdasarkan kepada saiz tenaga kerja tempatan.

Randstad menjalankan kaji selidik faktor-faktor yang menarik pekerja berpotensi kepada sesebuah organisasi. Ia menganalisis daya penarik 5,755 syarikat di 30 negara, dan menjalankan kaji selidik ke atas lebih daripada 175,000 responden. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.