Budak 5 Tahun Mati Lepas Terjatuh Dalam Telaga 100 Meter

Beijing: Seorang budak lelaki berusia lima tahun mati selepas terjatuh ke dalam telaga sedalam 100 meter dan terperangkap lebih 14 jam sebelum berjaya dikeluarkan, awal pagi tadi, lapor media tempatan.

Qilu Evening News melaporkan, telaga itu cuma mempunyai keluasan diameter 20 sentimeter manakala budak itu terperangkap kira-kira enam meter dari bukaannya dalam kejadian di daerah Jinzhongzi, wilayah Shandong.

Dia terjatuh ketika mengutip sayur dengan keluarganya pada petang Selasa.

Jurucakap kerajaan yang memberitahu portal berita Thepaper.cn, telaga itu mungkin dibina petani untuk mengatasi masalah kemarau di kawasan itu sejak empat tahun lalu dan tiada penutup atau papan tanda amaran.

South China Morning Post melaporkan, bomba pada mulanya berjaya menyangkutkan tali pada tangan kanak-kanak itu tetapi gagal menariknya keluar disebabkan telaga itu terlalu sempit. Mereka kemudian menggunakan puluhan jentera berat untuk mengorek tanah di keliling telaga itu dan menggerudi dari sisinya bersebelahan budak berkenaan bagi mengeluarkannya.

Bagaimanapun, dia disahkan mati di hospital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.