Maut Dihempap Traktor

IPOH – Seorang warga emas menemui ajal setelah sebuah traktor jatuh menghempapnya di sebuah tapak pelupusan sisa pepejal di Jalan Ipoh-Lumut, pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar 6 petang itu, sebuah traktor yang terlibat dalam kerja penolakan tanah telah jatuh ke dalam gaung sedalam 50 kaki dan menimpa mangsa.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang berusia 69 tahun itu maut di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ehsan Ibrahim berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kenderaan utiliti khas jenis Hilux untuk ke lokasi mangsa sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.24 petang.

“Kami terpaksa menggunakan kenderaan khas untuk ke kawasan tersebut kerana ia hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan sahaja, bersama dengan pasukan perubatan.

“Setibanya kami di sana, didapati mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dari bahagian bawah traktor dan dinaikkan ke atas tebing,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

“Operasi mengambil masa lebih daripada sejam dan tamat sepenuhnya pada 7.44 malam,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.