Krisis Dalaman PPBM Meruncing, Seorang Lagi Pengasas Bakal Keluar Parti

KUALA LUMPUR – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sedang berdepan krisis dalaman dijangka bakal kehilangan seorang lagi pengasas parti dek kerana tidak berpuas hati dengan pimpinan atasan parti serpihan tersebut.

Difahamkan individu yang berhasrat mengumumkan pengunduran tersebut memegang jawatan tertinggi dalam parti selaku Naib Presiden parti dan juga merupakan seorang Ketua Bahagian di Perak.

Sumber dalaman parti mendedahkan individu tersebut tidak berpuas hati selepas tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PPBM Negeri Perak, malah didakwa sudah berkonfrontasi dengan penaung parti, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan tertutup.

Malahan, individu tersebut juga sudah bertindak keluar daripada semua kumpulan perbualan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebagai tanda protes tidak berpuas hati selepas tidak dilantik selaku pimpinan negeri.

MalaysiaGazette difahamkan individu tersebut juga tidak lagi menghadiri mesyuarat MPT yang diadakan parti, malahan didakwa sedang mengusahakan rampasan kuasa untuk menjatuhkan Muhyiddin dan seorang lagi Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Individu tersebut sudah keluar daripada semua group WhatsApp PPBM, termasuk juga MPT.

“Beliau juga sudah tidak lagi menghadiri mesyuarat MPT, malahan juga menjadi punca utama perpecahan PPBM di Perak,” kata sumber.

Sumber juga mendakwa memiliki bukti perbualan WhatsApp wujud rancangan daripada individu sama yang mahu menggulingkan Muhyiddin dan Mukhriz.

“Saya ada bukti perbualan dan screen shot perbualan rancangan individu yang sama mahu menjatuhkan Muhyiddin dan Mukhriz,” katanya.

Menurut sumber, sekiranya individu tersebut bertindak keluar parti, ia tidak akan melemahkan kedudukan parti memandangkan banyak lagi pengasas parti yang masih setia dan tidak semata-mata mengejar jawatan.

Semalam, seorang Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman mengumumkan peletakan jawatan daripada parti itu.

Beliau yang juga Ketua Penaja PPBM Teluk Kemang berkata, keputusan itu dibuat berikutan perjuangan parti itu telah jauh lari dari matlamat asal penubuhannya.

Kamarul merupakan antara orang paling awal berjuang bersama-sama Pengerusi PPBM, Dr Mahathir melalui Gabungan Ketua Cawangan Malaysia. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.