TMJ Wajar Ganti Kepimpinan FAM, Kata Annuar Musa

KOTA BHARU – Kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu ditukar bagi memberi peluang kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengetuai badan induk itu jika mahu perubahan dalam pengurusan bola sepak negara.

 

Pendapat itu dilontarkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa selepas melihat tiada sebarang perubahan yang dilakukan FAM untuk memperbaiki ranking skuad negara yang jatuh merudum.

 

Katanya, beliau percaya jika debat diadakan di antara Tunku Ismail dan FAM, tiada perubahan akan berlaku kerana segala keputusan terletak di bawah FAM.

 

“Bagi saya sekarang ini bukan soal debat, tapi mengenai apa yang FAM akan buat. Kita bincang sekali pun, kuasa bola sepak di negara ini terletak di bawah satu badan induk (FAM) saja.

 

“Jika sesiapa saja yang berdebat, tapi FAM hanya mendengar saja, ia tidak akan ke mana. Sebab itu saya rasa langkah terbaik ialah menukar barisan kepemimpinan FAM dan serah kepada Tunku Ismail.

 

“Itu saja jalan yang ada bagi memajukan industri bola sepak negara,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan dan Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim menyatakan kesediaan menyahut cadangan Tunku Ismail berdebat.

 

Mengulas lanjut, Annuar berkata sehingga kini FAM juga belum merangka rancangan jangka panjang bola sepak negara sedangkan di peringkat kementerian sekurang-kurangnya sudah ada pelan induk mengenai sukan nombor satu negara itu.

 

Katanya, Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) sendiri apabila melakukan perancangan, ia mesti membabitkan pelan untuk tempoh 50 tahun.

 

“Digantung, dibuang dan macam-macam cerita keluar tapi FAM tetap masih sama. Cuba lihat pasukan Jepun, mereka lebih maju malah setaraf dengan pasukan Eropah.

 

“Ini kerana mereka membuat perancangan bukannya untuk menang pada waktu singkat, tapi membabitkan jangka masa panjang yang pasti memberi lebih banyak kesan positif,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.