Serpihan Pesawat Di Mozambique Hampir Pasti Milik MH370 – Australia

KUALA LUMPUR – Dua serpihan pesawat yang ditemui di pantai di Mozambique, hampir pasti milik pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

 

Perkara berkenaan dirumuskan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam laporan awal yang dikeluarkan pada Selasa.

 

ATSB dalam laporannya memberitahu, serpihan pertama yang ditemui pada 27 Disember 2015, merupakan bahagian segmen trek flap, hampir pasti dari pesawat Malaysia Airlines jenis Boeing 777 yang didaftarkan sebagai 9M-MRO.

 

Ia dikenal pasti daripada nombor 676EB yang tertera pada bahagian itu, dan disahkan berasal dari sayap kanan pesawat.

 

Jelas ATSB, semua dimensi, bahan-bahan, pembinaan dan ciri-ciri yang boleh dikenal pasti diukur dan dibandingkan dengan lukisan Boeing yang digunakan untuk pengesahan.

 

Tulisan dan warna 676EB menurut ATSB bagaimanapun bukan daripada pengeluar asal, tetapi sebaliknya sama dengan yang dihasilkan dan digunakan oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB) semasa operasi mengecat.

 

Bahagian berkenaan telah dicat semula, dan ini adalah konsisten dengan rekod penyelenggaraan MAB untuk pesawat  9M-MRO.

 

Gambarajah dari ATSB menunjukkan kedudukan asal serpihan pada model pesawat. - Foto ATSB

Gambarajah dari ATSB menunjukkan kedudukan asal serpihan pada model pesawat. – Foto ATSB

 

Panel penstabil

 

Sementara itu, serpihan kedua disahkan ATSB sebagai panel penstabil mendatar, juga didaftarkan bagi pesawat 9M-MRO.

 

Serpihan kedua ditemui 220 kilometer dari lokasi penemuan serpihan pertama pada 22 Februari lalu.

 

Serpihan ini dikenal pasti daripada imej material, pembinaan dan tulisan ‘NO STEP’ yang tertera pada bahagian berkenaan.

 

Seperti serpihan pertama, ATSB menjelaskan semua dimensi, bahan-bahan, pembinaan dan ciri-ciri yang boleh dikenal pasti diukur dan ia didapati menyerupai lukisan Boeing untuk panel penstabil.

 

Bahagian berkenaan ditandakan pada permukaan atas menggunakan cat hitam dengan tulisan ‘NO STEP’.

 

Bagaimanapun jenis tulisan dan lokasi tulisan ‘NO STEP’ bukan berasal dari pengeluar, sebaliknya konsisten dengan yang dibangunkan dan digunakan oleh MAB.

 

Serpihan kedua adalah komponen panel penstabil mendatar yang didaftarkan bagi pesawat 9M-MRO. - Foto ATSB, Boeing

Serpihan kedua adalah komponen panel penstabil mendatar yang didaftarkan bagi pesawat 9M-MRO. – Foto ATSB, Boeing

 

Gambarajah di atas dan laporan penuh mengenainya boleh didapatkan di pautanhttps://www.atsb.gov.au/publications/investigation_reports/2014/aair/ae-2014-054/

 

ATSB menjelaskan ketika laporan ditulis, ujian berterusan masih dijalankan berkenaan dengan pengenalan ekologi marin serta ujian sampel bahan.

 

Keputusan-keputusan ujian berkenaan jelas ATSB akan diserahkan kepada pasukan penyiasat Malaysia sebaik sahaja ia dilengkapkan.

 

Kehilangan MH370 disifatkan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.