Seorang Maut, 14 Cedera Dalam Serangan Bom Songkhla

SONGKHLA – Dua butir bom buatan sendiri meletup di daerah Thepa, Songkhla malam tadi mengakibatkan seorang warga emas maut dan 14 lagi termasuk enam anggota polis cedera.

 

Ketua Polis Bahagian Ke-9 Songkhla Leftenan Jeneral Polis Wirapon Chunpakdee berkata dalam kejadian 7 malam itu, seorang lelaki berumur 62 tahun terbunuh dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun adalah antara lapan orang awam yang cedera.

 

“Kejadian berlaku apabila sebutir bom api diletupkan di sebuah gerai. Ketika anggota polis menyiasat kejadian itu, sebutir lagi bom seberat 20 kilogram yang diletak pada motosikal di hadapan gerai itu diletupkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Beliau berkata pihak keselamatan percaya sasaran serangan bom kali ini adalah anggota polis berikutan kedudukan markas polis yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi serangan bom itu.

 

Turut melawat lokasi serangan bom itu ialah Gabenor Wilayah Songkhla Songpol Sawatham. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.