Pembangkang Sarawak Tolak DAP, PKR

KUCHING – Parti dan pemimpin pembangkang dari Semenanjung tidak ikhlas dalam memperjuangkan isu Sarawak terutama berhubung kuasa autonomi, kata Naib Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), Dr Elli Luhat.

 

“Salah satu perkara yang disuarakan rakyat Sarawak adalah autonomi. Dan sebagai parti tempatan, kami boleh beri tekanan yang lebih baik untuk itu.

 

“Saya tidak percaya kepada parti dari Semenanjung seperti DAP dan PKR yang berkata mahu memperjuangkan autonomi,” katanya dalam sidang media di Pejabat Timbalan Presiden di sini, hari ini.

 

Katanya, beliau pernah menyuarakan isu autonomi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Anwar mula-mula dipecat daripada kerajaan, dan merasakan beliau tidak begitu ikhlas dalam memperjuangkan isu tersebut.

 

“Malah saya sudah beri amaran kepada Jeffrey Kitingan (ketika beliau mahu menyertai PKR). Lihatlah di mana dia sekarang? Malah Baru Bian dilantik (oleh pemimpin dari Semenanjung), bukannya diundi (sebagai Pengerusi PKR Sarawak),” katanya lagi.

 

Presiden PBDS Baru, Louis Jarau pula berkata, parti pembangkang dari Semenanjung tidak seharusnya menyertai Pilihanraya Negeri Sarawak.

 

“Biarkan sahaja (PRN) ini, jangan masuk campur. Orang Sarawak boleh buat dengan lebih baik,” katanya lagi.

 

Kuasa autonomi menjadi isu utama dalam PRN kali ini, apabila kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang berjanji untuk memperjuangkan perkara ini.

 

Dalam pada itu, Louis juga mengumumkan PBDS Baru akan meletakkan kurang dari sepuluh calon dalam PRN kali ini, dengan tumpuan di kerusi luar bandar dan majoriti Dayak.

 

“Kami ingin buktikan parti tempatan cukup layak untuk mentadbir negeri ini, dan tidak perlukan parti Semenanjung untuk perjuangkan autonomi,” katanya lagi.

 

Beliau mengumumkan calon pertama parti itu iaitu Timbalan Presiden PBDS Baru Patrick Anek Uren bagi DUN Opar.

 

Patrick pernah menjadi Ahli Parlimen Mas Gading selama tiga penggal (1974-1986) dan Adun Tasik Biru (1979-1983) untuk sepenggal, ketika masih bersama Parti Nasional Sarawak (SNAP).

 

PRN Sarawak akan diadakan pada 7 Mei manakala penamaan calon pada 25 April ini. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.