Kanak-Kanak Dilarikan Wanita Indonesia Ditemui Selamat

SUBANG JAYA – Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang disyaki dilarikan seorang wanita warga Indonesia dari rumahnya di SS19, di sini Isnin lalu berjaya ditemui selepas 16 jam dilaporkan hilang.

 

Mangsa, Putri Nurkyra Izam Abdullah ditemui seorang kariah masjid Al Rahman di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur kira-kira jam 9.30 malam tadi.

 

Kedua-duanya dikatakan ke masjid itu berikutan tidak dapat menempah bilik hotel kerana tidak mempunyai sebarang dokumen.

 

Ketika ditemui, mangsa kelihatan ceria namun keletihan dan mendakwa kelaparan kerana hanya  mengambil sarapan.

 

“Saya hanya makan pagi tadi (kelmarin) tapi saya ok,” katanya kemudian diiringi ibu bapanya dan pegawai polis ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan kesihatan.

 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa ditemui seorang kariah masjid ketika berlegar-legar di rumah ibadat itu bersama suspek.

 

Lelaki itu mendekati mereka dan mengecam wajah kanak-kanak yang sebelum itu dilaporkan hilang di media.

 

Katanya, polis di Jalan Pantai dihubungi dan suspek  berjaya diberkas manakala kanak-kanak itu dibawa pulang ke pangkuan keluarganya.

 

Mohammad Azlin berkata, tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh badan mangsa, hasil siasatan awal mangsa didapati rela mengikut suspek.

 

“Suspek tidak melawan ketika ditahan, polis akan siasat kes ini sebagai penculikan,”katanya wanita warga Indonesia itu ditahan untuk siasatan lanjut.

 

Semalam, akhbar melaporkan niat baik sebuah keluarga menumpangkan seorang wanita warga Indonesia bermalam di rumah mereka berakhir nasib malang apabila seorang daripada  anak keluarga itu hilang dipercayai dilarikan suspek.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, kehilangan mangsa disedari kakaknya apabila mendapati kanak-kanak berusia 11 tahun dan menghidap dileksia itu tidak berada dalam bilik di rumahnya di SS19, di sini.

 

Bimbang sesuatu yang buruk, kakak mangsa memaklumkan kejadian kepada bapanya sebelum kehilangan mangsa dilapor kepada pihak polis. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.