Jenazah Murid Maut Dipatuk Ular Selamat Dikebumikan

KOTA BHARU – Jenazah murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Dato’ Hashim 1, Pengkalan Chepa di sini yang meninggal dunia dipercayai akibat dipatuk ular semalam, selamat dikebumikan hari ini.

 

Jenazah Nuriey Nadhirah Roslan, 7, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Latiff, Jalan Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan (PCB) dekat sini, pada pukul 9.45 pagi.

 

Turut hadir bapanya Roslan Ghazali, 33, ibunya Wan Nor Izatul Azwana Mohamed, 28, dan 100 anggota keluarga serta penduduk kampung.

 

Terdahulu, jenazah anak sulung daripada dua beradik itu disembahyangkan kira-kira 50 anggota keluarga dan penduduk kampung di kediamannya di Taman Buaya, Pantai Cahaya Bulan.

 

Allahyarham Nuriey Nadhirah, dipatuk reptilia itu di betis kiri ketika bermain di kawasan taman di hadapan kelasnya pada waktu rehat, kira-kira pukul 10 pagi.

 

Sementara itu, Wan Nor Izatul Azwana berkata beliau reda dengan pemergian anak sulungnya itu sambil meminta pengguna media sosial supaya menghentikan penyebaran gambar arwah anaknya yang boleh mengaibkan seluruh anggota keluarga.

 

Beliau juga terkilan dengan viral yang mendakwa anaknya itu hidup semula malam tadi, sehingga mengganggu beliau dan anggota keluarganya yang lain. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.