Tindakan Gereja Naikkan Salib Di Kawasan Majoriti Islam Akan Disiasat – Azmin Ali

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan menyiasat berhubung sebuah gereja baru di Taman Medan yang menaikkan tanda salib meskipun majoriti penduduk di kawasan itu beragama Islam.

 

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan menyiasat perkara ini secara profesional tanpa membangkitkan sensitiviti mana-mana agama.

 

“Walaubagaimanapun saya berharap isu ini dapat ditangani dengan baik dan saya dimaklumkan pihak gereja telah bersetuju untuk menurunkan (tanda salib) itu. Semua pihak perlu menghormati agama dan di Selangor kita akan memastikan perlindungan untuk semua penganut termasuk yang minoriti.

 

“Saya tidak membenarkan di sini ada unsur ekstremis seperti ini dan saya harap polis dapat menyiasat secara profesional untuk memastikan desakan-desakan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama dapat dihentikan dan mereka yang bertanggungjawab harus diambil tindakan,” katanya kepada pemberita.

 

Beliau berkata demikian mengulas bantahan penduduk setempat di Taman Medan semalam, terhadap gereja itu yang secara tiba-tiba menaikkan tanda salib.

 

Penduduk mendakwa tindakan itu sengaja dibuat bagi mencetuskan api perkauman dan ketegangan agama, di kawasan itu.

 

Sebelum ini portal The Star Online memuatnaik rakaman video yang memaparkan bantahan oleh kira-kira 50 penduduk taman perumahan tersebut.

 

“Kita penduduk kawasan ini tidak mahu bergaduh, tetapi kita hendak premis berkenaan menurunkan tanda salib tersebut.

 

“Kita tidak mahu ada pihak yang menaikkan tanda salib tersebut di kawasan yang mana 95 peratus penduduknya adalah beragama Islam. Premis ini dilihat cuba menarik perhatian penduduk untuk marah. Kita mahu wakil rakyat di sini ambil tindakan atau jika tidak kita sendiri yang akan turunkan tanda salib tersebut,” kata wakil penduduk di situ.

 

Dalam perkembangan sama, Azmin berharap penduduk di situ tidak terlalu berkeras dengan pemilik gereja berkenaan, sebaliknya menanganinya secara berdiplomasi agar isu itu dapat diselesaikan dengan baik.

 

“Mesej saya jelas iaitu tanda salib itu adalah simbol kepada orang kristian desakan untuk menurunkan tanda salib itu tidak boleh diterima tidak menghormati komuniti kristian.

 

“Walaubagaimanapun saya berharap isu ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.

 

Berikutan bantahan itu, pihak gereja berkenaan sudahpun menurunkan tanda salib itu sehingga kata persetujuan dicapai, kata Azmin. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.