Pemilihan PAS Dicemari Kempen Kotor – Asmuni

KUALA LUMPUR – Pemilihan PAS kali ini dilihat dicemari banyak kempen kotor termasuk melibatkan serangan peribadi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata situasi itu juga disifatkan paling buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

“Pemilihan yang lalu tidak nampak kempen kotor, tapi kali ini hebat sangat. Tak tahu kenapa berlaku.

 

“Macam-macam yang diperkatakan termasuk serangan peribadi; ada yang kata individu ini tidak layak bertanding, kata dia ini parasit, ortodoks dan lain-lain.

 

“Orang mengadu pada saya dan risalah (memburukkan pimpinan) pun saya dapat serta dihantar ke peti surat rumah,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

 

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menyangkal dakwaan bahawa proses pemilihan parti itu dicemari kempen kotor.

 

Abdul Hadi turut memberitahu, mana-mana calon yang dilihat menggunakan taktik kotor juga tidak akan dipilih.

 

Sebuah portal sebelum ini melaporkan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang disebut-sebut sebagai calon ‘favourite‘ yang akan dinamakan oleh ahli akar umbi parti itu bagi mencabar jawatan Abdul Hadi dalam pemilihan PAS yang akan berlangsung Jun nanti.

 

Sementara itu, kata Asmuni, beberapa aduan yang diterima adalah daripada segi pelanggaran etika yang diperoleh dari media sosial termasuk Facebook.

 

“Kita tak benarkan perbuatan langgar etika, seperti beri label, beri gelaran, keluarkan poster jatuhkan maruah calon-calon dan sebagainya.

 

“Namun kita tidak tahu siapa yang buat begitu, mungkin ahli PAS sendiri atau pihak lain yang cuba menangguk di air keruh,” ujarnya.

 

Semakin ramai dicalonkan untuk pemilihan sempena Muktamar PAS ke-62 yang akan berlangsung Jun ini.

 

Pencalonan untuk jawatan presiden, timbalan dan naib bagi sesi 2015-2017 semakin meningkat selepas lebih 20 PAS kawasan selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.