Masalah Kewangan Punca Prestasi The Red Warrior Merudum – Annuar Musa

KOTA BHARU – Masalah kewangan antara punca prestasi pasukan Liga Super Kelantan merudum, sekali gus gagal bersaing dengan pasukan lain yang menerima pelbagai tajaan besar, kata Tan Sri Annuar Musa.

 

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu, berkata faktor itu dikenal pasti menjejaskan prestasi sebenar The Red Warriors (TRW) dan keadaan itu akan lebih parah jika tidak diselesaikan segera.

 

“KAFA kini mula mengumpul hutang yang banyak akibat kos yang tinggi, prestasi tidak dapat menyaingi pasukan tajaan negeri dan kelab dengan dana besar.

 

“Keadaan mungkin bertambah parah dan boleh membawa kepada ‘tutup kedai’, saya akan teruskan usaha sedikit lagi, ..selepas pembaikan kejurulatihan dan kualiti import, tumpuan kini kepada mental dan fizikal pemain tempatan serta soal kewangan yang sangat tenat,” katanya melalui entri laman sosial Facebooknya, hari ini.

 

Annuar menasihatkan penyokong TRW supaya bersabar dan sentiasa memberi sokongan kepada pasukan itu tidak kira dalam keadaan susah ataupun senang.

 

“Nasihat saya agar mereka (penyokong) sabar, ramai yang tidak sedar senario Liga Malaysia sudah berubah kerana bila empat import dibenar beraksi, ia berubah dan kelebihannya kepada pasukan yang kaya.

 

“Kita cuba ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia, kedudukan Liga Super kita cuba baiki lagi, ..usaha ini sangatlah berat,” katanya.

 

Sementara itu, Annuar berkata pasukannya akan turun dengan barisan pemain terbaik menjelang aksi menentang Sime Darby FC dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Selasa ini.

 

“Kita akan turunkan kesebelasan terbaik 2015, .. Austin Amutu, Gilmar Jose Dis Santos Filho dan Erwin Carillo, ..trio akan berganding kali pertama dengan pemain sayap yang pantas,” katanya.

 

Selepas lapan perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan hanya menjaringkan enam gol dan kini berada di tangga ke-10 dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan dan satu seri. – BERNAMA/BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.