Potong Bajet Bas Kampus Punca Pelajar UM Ikat Perut, Ke Kuliah Guna Grab

KUALA LUMPUR – Tindakan Universiti Malaya (UM) yang didakwa memotong peruntukan sehingga RM1.3 juta bagi membiayai perkhidmatan bas kampus sejak beberapa bulan lalu antara punca utama sebilangan pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) terpaksa mengikat perut.

Itu pendedahan sebenar Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) kepada MalaysiaGazette di sebalik kesempitan hidup pelajar universiti awam itu hingga terpaksa mencatu makanan akibat kekangan kewangan.

Menurut Timbalan Naib Yang DiPertua MPPUM, Muhammad Haziq Azfar, akibatnya pelajar terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk pengangkutan ke kampus termasuk menggunakan perkhidmatan GrabCar.

“Bila peruntukan pendidikan dipotong, perkara pertama terkesan adalah pengangkutan dalam UM iaitu perkhidmatan bas ulang-alik Nadi Putra, dipotong RM1.3juta sejak beberapa bulan.

“Kekerapan bas dahulu setiap 20 minit sekali, sekarang menjadi 1 jam hingga 3 jam sekali. Bila jadi macam ini, pelajar tiada pilihan, dia terpaksa naik Grab dan sebagainya.

“Jadi kos perbelajaan pelajar itu semakin meningkat, jika sebelum naik bas percuma, kini pelajar terpaksa guna duit sendiri untuk naik Grab. Ini memberi kesan kepada perbelajaan pelajar UM,” katanya pada rundingan meja bulat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan bersama pemimpin persatuan pelajar di Kompleks Perdasiswa UM, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Asyraf Mustaqim Badrul Munir; Pengerusi GPMSWP, Khairul Rizam Dato’ Abu Samah; timbalannya, Mohd Faizan Alias dan Exco Mahasiswa, Muhd Nazirul Rohaizam.

Ahad lalu, sebuah media tempatan melaporkan sebilangan pelajar di UM terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung kepada sebuku roti untuk menahan lapar akibat kekangan kewangan.

Pelajar terbabit dipercayai datang daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian mereka di universiti awam itu.

Muhammad Haziq juga berkata, lebih membebankan apabila pelajar terpaksa membelanjakan purata RM15 sehari untuk melanggan Grabcar untuk pergi ke bilik kuliah.

“Sekali naik (Grabcar) minimum RM5, ada yang naik dengan pelajar lain, berkongsi kereta dan minimum tiga kelas sehari, di UM saja ada 12 fakulti, dan jika dijumlahkan mencecah RM300 sebulan,” katanya.

Sementara itu, katanya, kumpulan isi rumah bagi pelajar-pelajar UM tidak diukur menggunakan kategori rakyat yang ditetapkan kerajaan, sebaliknya ia diperincikan kepada BL40 atau yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

“Kategori BL40 dan B40 memang dikeluarkan oleh pihak universiti sendiri, ia adalah inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM sendiri.

“Ini kerana pelajar dalam kategori B40 sangat ramai, sebab itu UM wujudkan kategori isi rumah lebih kecil.

“Golongan BL40 ini di mana ada pelajar tiada komputer riba walaupun sudah sudah tiga tahun pengajiannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.