Ibrahim ‘Pahlawan’ Jabatan Penjara Yang Dilupakan

Oleh: Syahril Abd Kadir

 

 

Dalam sejarah Penjara Malaysia, ada dua kejadian yang betul-betul menggemparkan negara yang ramai generasi muda sekarang mungkin lupa atau tidak tahu pun mengenainya. Sebagai bekas wartawan, aku merasakan adalah tanggungjawab aku untuk menceritakan balik serba sedikit mengenainya walaupun aku sendiri ketika itu masih di bangku persekolahan. Apa yang aku ceritakan ini adalah pengalaman aku bergaul dengan pegawai dan wadar penjara sepanjang bergelar wartawan jenayah.

 

Pertama, pada Oktober 1986, enam banduan telah menahan seorang doktor dan pembantunya di Penjara Pudu sebagai tebusan dalam usaha untuk melarikan diri dari penjara. Namun setelah hampir seminggu berlarutan, anggota Unit Tindakan Khas (UTK) berjaya menggempur penjara berkenaan dan menangkap kesemua banduan serta membebaskan tebusan dengan tanpa ada pertumpahan darah.

 

Kedua, pada Januari 1987, tiga banduan Indonesia menahan Majistret Mariana Yahya di Penjara Kuantan untuk dijadikan tebusan. Bagaimana pun tak sampai 24 jam, dua daripada mereka berjaya ditembak mati dan seorang lagi berjaya diberkas. Mariana akhirnya berjaya dibebaskan.

 

Dalam dua-dua kejadian itu, lelaki berasal dari Kelantan, Datuk Ibrahim Mohamed adalah orang yang mengetuai Jabatan Penjara. Sebagai Ketua Pengarah, peranannya sangat signifikan dalam usaha pembebasan para tebusan. Walaupun kedua-dua insiden itu berakhir dengan operasi pihak UTK Bukit Aman, namun tak ramai tahu JASA BESAR DAN SUMBANGAN beliau pada penyelesaian krisis penuh dramatik itu.

 

 

Dalam kes Penjara Pudu, sebenarnya kalau ikut perancangan Ibrahim, beliau mahu kesemua banduan itu ditembak mati namun kerana akur dengan arahan pihak atasan yang tidak mahu ada pertumpahan darah, Ibrahim dan Datuk Zaman Khan (PDRM) mengubah taktik kepada menggempur penjara tersebut tanpa menggunakan senjata api. Untuk itu, dalam senyap-senyap, Ibrahim telah berunding atau ‘kowtim’ dengan salah seorang banduan yang terlibat untuk ‘memberi laluan’ dan membuka pintu bagi memudahkan anggota UTK membuat serbuan. Taktik Ibrahim berjaya. Akhirnya memang betul banduan itu termakan pujukan Ibrahim untuk membuka pintu hingga membolehkan anggota UTK masuk dan kesemua tebusan dibebaskan.

 

Dalam kes Penjara Kuantan pula, Ibrahim nyaris dibunuh kerana lehernya dicekak dan ditarik salah seorang banduan sewaktu beliau sedang berunding untuk membebaskan majistret berkenaan. Ketika suasana tegang inilah, pasukan UTK ‘mengambil kesempatan’ dengan meluru masuk dan menembak dua banduan Indonesia tersebut sehingga mati!

 

Ibrahim bersara daripada Jabatan Penjara pada tahun 1988. Umurnya sekarang pun dah 84 tahun tetapi tak ramai tahu jasanya yang besar itu. Beliau mungkin sudah dilupakan namun pengorbanannya tak mungkin dapat dinilai walau dengan emas, wang dan permata. Kita terhutang budi padanya.

 

 

 

 

Nota:

 

* Penulis merupakan bekas wartawan kanan Biro Jenayah di Utusan Malaysia.

 

*Ini merupakan pendapat peribadi yang dipetik dari laman Facebook beliau dan ia tidak semestinya mewakili pandangan SuaraTV.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.