Video: Gerhana Matahari Penuh, Iceland Bergelap

Kuala Lumpur – Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menyiarkan siaran secara langsung fenomena gerhana matahari penuh dari lensa teleskop Slooh di Kepulauan Svalbard, Norway.

 

Gerhana matahari penuh itu juga dapat dilihat di kawasan berdekatan Lautan Artik, Iceland, Kepulauan Faroe, Afrika Utara, Rusia dan Asia Selatan.

 

Pegawai Sains ANGKASA, Mohd. Zamri Shah Mastor berkata, gerhana matahari penuh merupakan satu fenomena membabitkan matahari yang sedang bersinar, secara perlahan-lahan menjadi gelap sebahagian atau keseluruhannya, kerana dihalang oleh bulan yang berada di antara matahari dan bumi.

 

 

Bagaimanapun, penduduk di Malaysia tidak berpeluang melihat gerhana tersebut kerana ia hanya boleh dilihat penuh di kawasan berhampiran Lautan Artik.

 

“Penduduk Malaysia tidak berpeluang melihat gerhana matahari penuh. Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk menayangkan peristiwa gerhana ini melalui lensa teleskop Slooh di Kepulauan Svalbard, Norway.

 

“Pada jam 4.30 petang tadi, gerhana matahari telah berlaku dan pada jam 5.45 petang keadaan akan berubah menjadi gelap sepenuhnya di Kepulauan Svalbard,” katanya.

 

Menurutnya, gerhana itu mengambil masa selama empat jam sembilan minit dan penuh secara maksimum selama dua minit dan 47 saat.

 

“Fenomena kali ini merupakan yang terakhir buat penduduk Eropah sebelum gerhana matahari penuh itu sekali lagi akan berlaku pada 12 Ogos 2026,” katanya.

 

Zamri berkata esok dunia akan mengalami fenomena ekuinoks di mana matahari akan melintasi garisan khatulistiwa untuk mengubah kedudukannya dari hemisfera selatan bumi ke hemisfera utara bumi setelah enam bulan berada di hemisfera selatan bumi.

 

“Ketika fenomena itu berlaku, mereka yang berada di atas atau berdekatan dengan garisan khatulistiwa akan mendapati matahari berada tepat di atas kepala pada waktu tengah hari (jam 12 tengah hari).

 

“Ketika matahari tegak di langit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang mereka seperti biasa kerana semasa ekuinoks berlaku dan kita akan mengalami waktu siang dan malam sama panjang (12 jam siang 12 jam malam) di seluruh dunia,” katanya.

 

Jelasnya, di Asia Tenggara, fenomena ekuinoks akan bermula di Pontianak, Indonesia kemudiannya di Johor dan Sarawak pada 25 Mac 2015.

 

Selain itu, pada 4 April ini pula, fenomena gerhana bulan penuh boleh dilihat di Malaysia bermula pada jam 4.15 petang dan tamat pada jam 9.44 malam.

 

“Fenomena gerhana bulan penuh boleh dilihat di Malaysia dan ia akan kelihatan penuh secara maksimum pada jam 8.02 malam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.