Tiga Beradik Cedera Akibat Bomoh

Sibu – Tiga beradik berusia antara lima hingga 10 tahun didakwa mengalami kecederaan akibat dirawat seorang bomoh tradisional sejak Oktober tahun lalu.

 

Mereka yang dikatakan menerima rawatan hampir setiap hujung minggu melecur pada badan akibat sering dicucuh dengan colok setiap kali menerima rawatan daripada bomoh tersebut.

 

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi berkata perkara tersebut akhirnya diketahui bapa mereka yang bekerja sebagai tukang masak selepas anak lelakinya yang berusia lima tahun mengadu sakit di bahagian dada pada 10 Mac lalu.

 

Pemeriksaan pada pada badan abang kanak-kanak itu yang berusia enam tahun dan kakaknya yang berusia 10 tahun turut mendapati terdapat kesan lecur yang sama, katanya.

 

Beliau berkata anak sulung lelaki itu memberitahu bahawa ibu mereka telah membawa mereka menemui bomoh itu di Bukit Lima untuk upacara sembahyang di mana mereka dipaksa berlutut berjam-jam lamanya sambil memegang colok dan apabila mereka bergerak mereka akan dicucuh dengan colok.

 

Adik beradik itu juga telah diugut untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu selain diarahkan memakai pakaian berlengan panjang sepanjang masa, katanya.

 

Mohd Kamal berkata bapa kanak-kanak tersebut kemudiannya membuat laporan polis dan wanita tersebut telah ditahan petang Khamis.

 

Bomoh tersebut turut sedang diburu, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.