Tak Jadi Tahan, Tian Chua Diminta Hadir Ke IPD Dang Wangi

Kuala Lumpur – Naib Presiden PKR, Tian Chua diminta untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pagi ini untuk dirakamkan percakapannya berhubung perhimpunan #KitaLawan.

 

PKR dalam satu kenyataan berkata, Tian Chua sepatutnya ditahan polis semalam, namun setelah bantahan dilakukan oleh Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, polis akhirnya membatalkan hasrat tersebut.

 

“Beliau diminta untuk hadir ke IPD Dang Wangi pada pagi ini, Jumaat 20 Mac jam 11 pagi untuk dirakam percakapan,” petik kenyataan tersebut.

 

Difahamkan malam tadi pihak polis telah ke rumah Ahli Parlimen Batu itu untuk menahan beliau.

 

“Kenapa datang di tengah-tengah malam? Beliau bukan perompak atau peragut,” kata Sivarasa, yang juga ahli Parlimen Subang ketika dihubungi.

 

Malah, kata Sivarasa, Chua sebelum ini telah membuat temu janji dengan pegawai penyiasat untuk memberi keterangan kepada polis pada hari Ahad.

 

“Saya sangat penat dan baru bersiap untuk tidur, kemudian saya sedar mereka berada di luar,” kata Tian Chua.

 

“Mereka menunjukkan kepada saya waran tangkap dan akan membawa saya ke (ibu pejabat polis daerah) Dang Wangi,” katanya.

 

Terdahulu, para anggota polis dikatakan berlegar di sekitar kawasan rumahnya selama 15 minit, kata MP Batu itu lagi.

 

Beliau turut mengesahkan kehadiran anggota polis menerusi akaun Twitternya.

 

Awal minggu ini, polis turut menahan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung perhimpunan #KitaLawan.

 

Nurul Izzah dibebaskan sehari kemudian dan berita penahanan puteri sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mendapat perhatian media antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.