Ribuan Ikan Duri Mati Di Sungai Kerian

Nibong Tebal – Ribuan ikan duri ditemui mati dan terapung di permukaan air sepanjang Sungai Kerian hingga pintu air Ampang Jajar, di sini sejak dua hari lepas, sekaligus menyebabkan kawasan sekitar sungai itu dicemari bau busuk daripada bangkai ikan yang sedang mereput dan tidak dapat hanyut ke laut kerana terhalang oleh pintu air yang ditutup.

 

Situasi itu mencetuskan rasa hairan di kalangan penduduk kawasan berkenaan kerana hanya spesies ikan duri sahaja yang dilihat mati, kata Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Seri Ampangan Ahmad Furanji Shariff.

 

“Kami tidak pasti mengapa hanya ikan duri sahaja yang mati tapi nelayan di sini kata mungkin ia disebabkan pencemaran air dari anak sungai yang mengalir masuk ke Sungai Kerian.

 

“Penduduk di kawasan berhampiran perairan Sungai Kerian terpaksa menghidu bau busuk dan kami berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan mengambil tindakan segera,” katanya hari ini.

 

Seorang nelayan di kawasan berkenaan, Supian Mohd, berharap pihak berkuasa menyiasat punca sebenar kejadian dan mengambil tindakan terhadap pihak yang telah menyebabkan kematian ribuan ikan itu.

 

“Jika kejadian itu (kematian ikan) disebabkan tindakan manusia, saya minta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

 

“Ini bukan sahaja menyebabkan pencemaran sungai dan bau busuk malah turut menyebabkan bekalan ikan berkurangan,” katanya.

 

Seorang penduduk, Md Amin Abdullah berkata, dia sekeluarga terpaksa menghidu bau busuk akibat pencemaran sungai berikutan kematian ikan duri itu kerana selepas dua hari ia masih belum dibersihkan.

 

“Bangkai ikan berkenaan timbul terapung di permukaan air dan saya harap tindakan segera dapat diambil kerana ia mengganggu keselesaan orang ramai terutama penduduk di sini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.