PRK DUN Chempaka: Jangan Terpedaya Permintaan Tanda Jari Awal – SPR

PUTRAJAYA – Para pengundi, termasuk warga emas bagi Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka dinasihatkan tidak terpedaya dengan permintaan sesetengah pihak yang meminta jari mereka ditanda dengan dakwat, sebelum mengundi pada Ahad ini.

 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pengundi yang masuk mengundi akan diperiksa jarinya supaya bebas dari sebarang dakwat dan pengundi akan mencelup jari ke dalam botol dakwat yang disediakan oleh SPR.

 

“Jika ada pengundi yang enggan jarinya dicelup dakwat, maka kertas undi tidak akan diberikan kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau mahu semua pengundi bekerjasama supaya tidak memberikan kad pengenalan mereka kepada pihak-pihak lain kerana mungkin disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan akan menimbulkan masalah pada hari pengundian.

 

Abdul Aziz berkata 20,390 pengundi biasa akan keluar mengundi pada Ahad ini di sembilan buah pusat mengundi dan 39 tempat mengundi (saluran) bagi kerusi Dun Chempaka.

 

Beliau berkata waktu pengundian dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di semua pusat mengundi pada Ahad ini.

 

“Proses pengiraan undi akan dijalankan selepas proses pengundian tamat pada jam 5.00 petang. Pengiraan undi akan dibuat di tempat mengundi itu dan bukan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

 

Semasa proses pengiraan undi dijalankan, ejen-ejen calon juga turut berada dalam tempat mengundi memerhati proses pengiraan undi,” katanya.

 

Abdul Aziz berkata tempoh berkempen bagi PRK Dun Chempaka akan berakhir pada 12 tengah malam esok dan sebarang aktiviti berkempen pada hari mengundi merupakan satu  kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

 

“Mereka yang melanggar peruntukan tersebut boleh dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya.

 

Abdul Aziz menasihatkan para pengundi yang akan keluar mengundi pada Ahad ini agar membuat semakan maklumat pengundian masing-masing seperti nama pusat mengundi, nombor saluran dan nombor siri mengundi (dalam buku Daftar Pemilih) melalui laman sesawang SPR di www.spr.gov.my , sistem pesanan ringas (SMS) dengan menaip SPR <jarak>  SEMAK <jarak> NO.KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888.

 

Selain itu beliau berkata pengundi boleh menelefon ke Pejabat Pilihan Raya Negeri Kelantan di 09-7482510 atau Ibu Pejabat SPR, Putrajaya (0388927000) atau mengunjungi ke barung SPR di setiap pusat mengundi pada Ahad ini.

 

“Para pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi secara berperingkat mengikut kesesuaian masa dalam tempoh yang ditetapkan itu supaya tidak berlaku kesesakan di pusat mengundi,” katanya.

 

Abdul Aziz berkata SPR meminta para majikan di sektor awam dan swasta agar membenarkan pekerja mereka keluar mengundi.

 

“Mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi pada hari tersebut boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu didenda tidak lebih RM5,000 dan dipenjara setahun jika sabit kesalahan,” katanya.

 

Abdul Aziz berkata parti politik dan calon tidak dibenarkan membuka, menubuhkan atau menyenggarakan suatu pejabat atau barung dengan alasan untuk membantu pengundi-pengundi menyemak maklumat pengundian mereka.

 

“Hanya barung SPR sahaja dibenarkan dibuka pada hari mengundi bagi kemudahan pengundi-pengundi membuat semakan maklumat pengundian mereka. Barung SPR ini dilengkapi dengan kemudahan komputer bagi mempercepatkan proses penyemakan,” katanya.

 

Abdul Aziz menasihatkan semua pihak iaitu calon, penyokong dan pekerja parti serta pengundi supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan SPR dan polis bagi memastikan perjalanan proses pengundian PRK Chempaka berjalan lancar, aman tenang dan terbaik.  – Bernama/Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.