Pemuda UMNO Bantah SPAD Naikan Tambang Bas, Teksi

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sepatutnya meningkatkan tahap efisyen dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam terlebih dahulu sebelum menaikkan tambang pengangkutan awam.

 

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata demikian mengulas pengumuman SPAD semalam berhubung kadar tambang baharu bagi pengangkutan awam melibatkan teksi dan bas ekspres.

 

Beliau berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar, kenaikan tambang baharu itu ternyata akan membebankan rakyat.

 

“Tindakan SPAD menaikkan kadar tambang dengan alasan kali terakhir ianya dinaikkan adalah pada tahun 2009 sebagai tidak kena dengan masa,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media berikutan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO membantah kenaikan tersebut.

 

“Apa juga alasan yang diberikan oleh pihak SPAD terhadap kenaikan ini, masyarakat masih menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya,” tegasnya, lapor UMNO Online.

 

Tambah beliau, kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Keadaan itu menyebabkan orang ramai akan berfikir beberapa kali sebelum memilih menggunakan perkhidmatan awam kerana perlu membayar harga tambang yang lebih tinggi.

 

“Malah 1 April ini akan bermulanya pelaksanaan GST jadi pengguna fikir harga kebanyakan barang akan naik seiring dengan kenaikan harga petrol. Bila tambang pengangkutan awam naik, sudah tentu mereka akan menyalahkan kerajaan kononnya tidak prihatin terhadap masalah rakyat,” tambahnya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

 

Beliau seterusnya mempersoalkan apa guna kenaikan harga tambang sekiranya tiada penambahbaikan dari segi perkhidmatan dan sikap pihak yang terlibat.

 

Beliau berkata, adalah lebih wajar jika SPAD membuat tinjauan serta mengumpulkan rungutan-rungutan pengguna perkhidmatan awam tersebut agar perkhidmatan yang diberikan memberi kepuasan kepada pengguna bukan hanya mendengar keluhan pengusaha.

 

Ini kerana, tambahnya, banyak aduan mengenai sikap pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak mengikut undang-undang, bertindak seperti gengster dan tiada sopan santun.

 

“Masih ada laporan pemandu teksi tidak menggunakan meter dan menipu penumpang.

 

“Bagaimana masyarakat hendak terima kenaikan kalau perkara seperti ini pun tidak ditambah baik? Bila tambang sudah naik mutu perkhidmatan juga harus ditingkatkan dan mereka perlu lebih berbudaya, bukan di takuk lama.

 

“Diharap YAB Perdana Menteri dapat mengambil tindakan yang segera agar kenaikan tersebut ditangguhkan terlebih dahulu kerana isu kenaikan tambang menjadi isu popular rakyat Malaysia terutamanya di media-media sosial dengan mempertikaikan kesungguhan kerajaan dalam usaha memberi kesejahteraan kepada rakyat,” tambahnya.

 

Menurut kenyataan SPAD semalam, tambang bas ekspres dan teksi akan dinaikkan bermula 1 April dengan teksi bajet di Lembah Klang akan mengenakan caj 25 sen untuk setiap 200 meter.

 

Menurut SPAD, kadar untuk teksi bajet di seluruh negara tetap sama iaitu pada kadar RM3, tetapi kadar jarak dan masanya akan disemak semula.

 

Bagi TEKS1M, akan menyaksikan kadar baharu yang dinaikkan kepada RM4, dengan caj 30 sen akan dikenakan bagi setiap 200 meter.

 

Bas ekspres pula akan memperlihatkan kenaikan tambang semasa daripada 9.3 sen setiap km kepada 11.4 sen per km. Bermakna satu tiket ke Ipoh dari KL akan berharga RM25.30 berbanding RM20.60 pada sebelumnya, satu kenaikan yang agak tinggi yang bakal menimbulkan perasaan marah pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.