Lelaki Mati Ditetak Di Manjung

Ipoh – Seorang lelaki ditemui mati dipercayai akibat ditetak sekumpulan orang di sebuah padang di Taman Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2, Ayer Tawar, Manjung awal pagi tadi.

 

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata orang awam menemui mangsa berumur 34 tahun itu kira-kira pukul 5 pagi.

 

“Mangsa ditetak di bahagian kepala hingga menyebabkan pendarahan teruk sehingga mengakibatkan kematian,” katanya ketika dihubungi.

 

Mohd Zailan berkata hasil siasatan mendapati lima lelaki menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna coklat menetak mangsa dengan menggunakan senjata tajam.

 

“Kelima-lima suspek telah melarikan diri dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

 

Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.