Kediaman Presiden Yaman Diserang Pesawat Pejuang

Aden – Sebuah pesawat pejuang menyerang Istana Presiden yang terletak di Bandar Aden, pada Khamis, selepas tentera yang setia kepada Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi menyerbu sebuah kem persembunyian seorang komander belot.

 

Menurut pegawai Yaman, pesawat itu menjatuhkan sebutir bom atau melepaskan misil di sebuah kawasan di Daerah al-Maasheeq, selatan negara itu.

 

Penduduk memberitahu, senapang antipesawat yang ditempatkan berhampiran Istana Presiden itu, kemudiannya melepaskan tembakan ke arah pesawat berkenaan, menyebabkan ia terpaksa berundur.

 

Seorang sumber keselamatan Yaman yang dipetik Reuters berkata, situasi di Istana Presiden “terkawal dan tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.”

 

Seorang pembantu Presiden berkata, Hadi kini berada di lokasi selamat dan tiada mangsa yang cedera dalam serangan ke atas kediaman Presiedn di selatan Yaman itu.

 

“Presiden berada di sebuah lokasi selamat,” kata pembantu Presiden itu yang enggan dikenali.

 

AP pula melaporkan, pesawat itu dipercayai diterbangkan pasukan yang setia kepada pemberontak Houthi yang menguasai ibu negara Yaman, Sana’a.

 

Terdahulu, sekurang-kurangnya enam terbunuh dalam pertempuran sengit di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Aden, pada Khamis.

 

Tentera yang setia kepada Hadi mengerahkan kereta kebal dan kenderaan berperisai di Bandar Aden untuk bertempur dengan pasukan khas bersenjata yang setia kepada bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh yang juga sekutu kumpulan pemberontak Houthi yang menguasai utara Yaman.

 

Kebangkitan Houthi yang disokong Iran, sejak September tahun lalu, telah merumitkan lagi keadaan di Yaman yang bergolak, dengan memecahbelahkan pasukan tenteranya dan negara itu terpisah daripada dunia luar.

 

Pertempuran yang tercetus berhampiran sebuah pangkalan pasukan khas di Daerah Khor Maksar, kemudiannya merebak ke kawasan penempatan dan menyebabkan jalan raya berhampiran lapangan terbang terpaksa ditutup.

 

Pihak berkuasa lapangan terbang membatalkan sekurang-kurangnya satu penerbangan, selepas tembakan berlaku pada awal pagi khamis, di mana anggota dikenali sebagai Jawatankuasa Popular, militia tempatan yang setia kepada Hadi, bertempur dengan pasukan khas yang menyokong Saleh.

 

Pasukan tentera dari sebuah pangkalan berhampiran turut dikerahkan untuk membantu penyokong Hadi dan menawan lapangan terbang itu pada tengah hari tadi.

 

Akibatnya, empat tentera khas dan dua anggota militia maut dalam pertempuran itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.