Kamal Faham Perasaan Emma Maembong

Gosip dia dikatakan membawa pelakon jelita, Emma Maembong berjumpa keluarganya dinafikan pelakon, Kamal Adli seperti yang dilaporkan media tempatan beberapa hari lalu.

 

Namun, Kamal yang ditemui semalam menyatakan dia tidak tertekan dengan gosip tersebut sebaliknya, sedih apabila ramai peminat memarahi dan melemparkan kata-kata negatif terhadap dirinya ekoran spekulasi hubungan percintaannya dengan aktres berdarah kacukan Melayu-Scotish itu.

 

“Ramai peminat yang marah pada saya. Sedangkan saya telahpun jelaskan yang saya tidak pernah bawa Emma berjumpa keluarga saya. Lagipun, belum ada sebab kukuh untuk saya bawa Emma jumpa mereka.

 

“Saya bukan jenis ‘kaki sailang’. Saya memang berkawan dengan Emma malah saya juga berkawan dengan Zizan tetapi hubungan saya dan Emma rapat sejak kami berlakon drama Syurga Tanpa Cinta.

 

“Sewaktu itu kami sering berkongsi cerita tentang hal kami dengan pasangan masing-masing. Namun, apabila dia lalui perkara itu (putus cinta), saya faham situasi dan perasaannya sebab saya pun lebih dulu lalui benda yang sama.

 

“Kami masing-masing saling beri semangat atas apa yang kami lalui. Itu yang buatkan kami jadi lagi selesa berkawan.

 

“Saya hanya berkawan dan tidak sampai ke tahap nak minta hubungan ini sebagai pasangan kekasih. Saya tidaklah terdesak sampai macam itu sekali,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan doa selamat filem Isteri Untuk Dijual di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

 

Dalam masa sama, Kamal turut bersimpati kepada Emma yang juga menerima kecaman sebilangan peminat sebaik saja wanita itu mengesahkan hubungannya dengan pelawak dan pelakon popular, Zizan Razak berakhir.

 

“Saya kasihan dengan dia. Sejak dia ‘declare’ tentang hal (putus cinta) itu, dia juga dapat banyak kritikan daripada peminat. Saya nasihatkan dia supaya banyak bersabar kerana orang lain tidak tahu dan faham apa cerita sebenarnya,” ujarnya.

 

Rindu MIG

 

Menyentuh pula perkembangan karier lakonan terkini, Kamal baru selesai menjalani penggambaran drama Pergilah Air Mata. Karya adapatsi novel itu turut dijayakan Nelydia Senrose, Azlee Khairi dan Izreen Azminda.

 

Kamal juga bakal sibuk di lokasi penggambaran filem arahan Eyra Rahman, Isteri Untuk Dijual. Ini juga kali pertama penglibatannya dalam filem terbitan Metrowealth (MIG) selepas dua kontraknya bernaung syarikat penerbitan filem tersebut tamat.

 

Memengang watak sebagai Kamal Reza, filem tersebut juga menampilkan pelakon Nora Danish, Azwan Kombos dan Vicha (Saywho).

 

“Saya terasa juga rindu mahu bekerja dengan MIG, rindu dengan David Teo membebel pada saya.

 

“Sebenarnya, selepas tamat kontrak, saya ada dapat tawaran berlakon untuk filem MIG tetapi ketika itu jadual saya padat. Kebetulan kali ini jadual saya okay, jadi saya terima tawaran ini.

 

“Tambahan, saya rasa terhutang budi dengan MIG yang sebelum ini banyak membantu saya,” katanya yang ini selesa menguruskan kerjayanya sendiri. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.