‘Awe Kelate’ Curi Motosikal, Tak Hadir Mahkamah

Kepala Batas – Dua remaja lelaki dari Tanah Merah, Kelantan yang sepatutnya menghadiri perbicaraan kes curi motosikal di mahkamah di Bukit Mertajam, tidak serik apabila sekali lagi terlibat dalam kes curi motosikal di Bagan Dalam, Butterworth awal hari ini.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata dua remaja berusia 19 dan 20 tahun itu baru tiba di Butterworth dengan menaiki bas dari Tanah Merah pada pukul 6.20 pagi ini sebelum mencuri sebuah motosikal di Flat Bagan Dalam 10 minit kemudian.

 

“Anggota polis yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah mendapati dua remaja itu dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan mereka memberhentikan motosikal di tepi jalan, bagaimana pun penunggangnya memecut laju.

 

“Tindakan pantas anggota polis mengejar dua remaja itu telah berjaya menahan mereka kira-kira dua kilometer daripada kawasan perumahan tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati motosikal berkenaan baru sahaja dicuri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

 

Beliau berkata siasatan awal mendapati dua remaja itu bersama empat rakannya pernah ditahan oleh polis daerah Seberang Perai Tengah di Penanti pada 9 Februari lepas selepas terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang.

 

Abdul Rahman berkata dua remaja berkenaan seperti tidak serik kerana walaupun baru tiba di negeri ini untuk menghadiri perbicaraan kes curi motosikal tetapi sekali lagi mencuri kenderaan berkenaan.

 

“Modus operandi mereka adalah menaiki bas dari sana (Tanah Merah) dan turun di terminal-terminal bas di negeri ini sebelum mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang dan membawa balik ke Kelantan sebelum ia dijual atau komponennya dileraikan selain turut dijual dengan harga lebih murah.

 

“Semasa ditahan dua remaja itu mengaku baru sampai di negeri ini untuk menghadiri perbicaraan kes curi motosikal di mahkamah di Bukit Mertajam bagaimana pun mereka terlebih dahulu bertindak mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha sebelum berjaya ditahan polis,” katanya.

 

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sama ada geng ‘awe kelate’ yang aktif sejak Ogos tahun lalu itu terlibat dengan kes kecurian motosikal di daerah itu yang semakin meningkat sekarang ini.

 

Dua remaja yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

 

Akhbar sebelum ini melaporkan polis berjaya menumpaskan geng curi motosikal selepas menahan enam lelaki berusia 17 hingga 21 tahun dan merampas 10 buah motosikal bernilai RM50,000 dalam dua serbuan pada 7 Februari lepas.

 

Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal di Pulau Pinang  susulan penahanan enam remaja lelaki berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.