4 NGO Buat Laporan Polis Kenyataan Ramasamy Di Laman Sosial

Kuala Lumpur – Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P Ramasamy yang didakwa berbaur perkauman di laman sosial.

 

NGO berkenaan ialah Al-Shifaq Tenaga Dalam Malaysia, Persatuan Kebajikan Serumpun Amal Sejagat (Zon Utara), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) Pulau Pinang dan Persatuan Seni Silat Harimau Putih yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, di Bukit Mertajam, hari ini.

 

Penasihat Al-Shifaq Wan Ahmad Faazli Md Ali yang mengetuai laporan polis itu berkata laporan itu adalah sebagai tanda protes terhadap kenyataan Ramasamy yang boleh menimbulkan api kemarahan rakyat sekali gus menggugat keamanan negara.

 

“Kita tidak mahu kejadian terdahulu diungkit semula. Sebagai seorang pemimpin beliau harus tahu dia dilantik sebagai wakil oleh rakyat tujuannya untuk menjaga kebajikan rakyat dan bukannya mencetuskan api kemarahan.

 

“Saya bercakap ini kepada semua pemimpin, sama ada Barisan Nasional, DAP, PAS, PKR dan sebagainya, anda dipilih oleh rakyat untuk mentadbir negara ini dan bukannya berada di atas pucuk pimpinan mempertikaikan apa yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

 

Sehubungan itu, Wan Ahmad Faazli meminta polis menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.