PKR Rembau Cadang Ketua Cabang dan Isterinya Sebagai Calon PRK DUN Rantau

SEREMBAN – PKR Cabang Rembau telah membuat keputusan untuk menamakan hanya dua individu sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ketuanya, R. Tanggam berkata, nama berkenaan ialah beliau sendiri dan Ketua Wanita cabang berkenaan, K. Bathmavathi.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat cabang itu baru-baru ini.

“Kami juga menolak sekeras-kerasnya mana-mana calon ‘payung terjun’.

“Kami juga menggesa calon dipilih berdasarkan kepada kehendak rakyat dan bukan kehendak mana-mana individu atau pemimpin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan kemenangan Mohamad untuk kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu sekali gus PRK perlu diadakan.

Untuk rekod, Bathmavathi, 45, adalah isteri Tanggam.

Tanggam memberitahu, Cabang Rembau mahu anak jati di situ bertanding kerusi berkenaan.

“Saya dan isteri adalah anak jati di sini. Sekiranya parti memilih Bathmavathi, saya akan memberi sokongan penuh bagi membolehkan calon wanita dari PKR mempunyai wakil di DUN,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.