Kerajaan Rugi RM500 Juta Urusniaga Majukan Tanah Kerajaan Sejak 1997 – Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendakwa kerajaan mengalami kerugian yang dianggarkan lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) melibatkan tanah milik milik Kementerian Pertahanan yang berlaku sejak 1997.

Memetik laporan BH, Mohamad Sabu, berkata perkara itu terdedah hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Menurutnya lagi, laporan siasatan itu kemudian dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Februari lalu.

“Semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

“JKTUPKK juga mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil Kerajaan sepanjang pelaksanaan projek land swap adalah melebihi RM500 juta.

“Kami dimaklumkan bahawa majoriti pelaksanaan projek ‘land swap’ sebelum ini adalah tidak dirancang dengan teliti dan pemilihan syarikat pemaju tidak dilaksanakan secara wajar mengikut sistem yang komprehensif,” katanya.

Mohamad Sabu berkata beliau telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pertahanan membuat laporan polis, SPRM dan pihak berkuasa berkaitan.

“Sehubungan itu, saya akan mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi berkaitan yang lain untuk menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan lanjut seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” ujarnya.

Lain-Lain Berita Menarik;-

Najib Tanya, Apa Sudah Jadi Dengan Tuduhan Swastakan 40,000 Hektar Tanah Tentera?

Mat Sabu Nafi Ada Ijazah, Akui Dibuang Dari ITM

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan pendedahan tersebut kerana ia sekaligus membersihkan nama beliau dari dakwaan fitnah sebelum ini.

“Saya bukan Menteri Pertahanan mahupun Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri ataupun Menteri Kewangan pada tahun 1997.

“Perdana Menteri tahun itu ialah PM ke-4 yang kini PM ke-7. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah bakal PM ke-8.

“Alhamdulillah. Laporan yang mengambil masa 8 bulan ini juga telah membuktikan bahawa Tan Sri Rafidah Aziz telah memfitnah saya,” katanya.

Najib menduduki jawatan Perdana Menteri ke-6 bermula 3 April 2009 hingga 9 Mei 2018.

Pada 1997, jawatan Perdana Menteri disandang Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin sama yang kini adalah Perdana Menteri ke-7.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada waktu itu.

Manakala jawatan Menteri Pertahanan ketika itu ialah Tan Sri Syed Hamid Albar yang kini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PPBM. – SuaraTV

Lain-Lain Berita Menarik;-

Kalau Tak Suka Nama ADAM50, Tukar Jadi GuanEng50 atau MatSabu50 Tapi Jangan Mansuh – Najib

Status Kes Anak Menteri Positif Ganja Masih Misteri, KPN Belum Terima Butiran Lanjut

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.