Dulu Mereka Hina PAS Parti Tin Milo, Sekarang PPBM Pun Kutip Derma

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan pengumuman kutipan derma oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) seperti ‘menjilat ludah sendiri’ kerana mereka sebelum ini pernah dihina kerana mengutip derma dalam tin milo.

Sindiran pedas itu dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusatnya, Dr. Azman Ibrahim yang berkata selama ini pemimpin dalam PPBM yang dahulunya dalam UMNO pernah menghina mereka sebagai parti tin milo kerana meminta derma daripada penyokongnya semasa ceramah-ceramah.

“Semua mereka yang sebelum ini suka ejek Pas tadah tin milo akhirnya terpaksa jilat ludah sendiri dengan kahak sekali.

“Dengan muka kesian dan suara sayu diiringi irama muzik sedih, mereka juga terpaksa merayu sumbangan derma kononnya nak guna untuk lawan kleptokrasi dan menjatuhkan Najib (Datuk Seri Najib Razak). Tak tadah tin milo tapi tadah nombor akaun,” katanya dalam satu kenyataan.

Berbeza dengan Pas, derma-derma yang diberikan oleh penyokongnya adalah untuk tujuan perjuangan dan meninggikan agama Islam, jelas Azman.

“Kita orang Pas minta derma dengan suara bersemangat dan penuh keyakinan akan perlunya kita semua menghulurkan sumbangan fii sabilillah.

“Tanpa perlu buat muka kesian kerana dalam Pas semua ahli dan penyokong sedia maklum bahawa perjuangan ini adalah milik bersama dan tanggungjawab bersama. Kita hulurkan sumbangan untuk kerja-kerja meninggikan agama Allah.

“Orang Pas dah hulur derma sejak zaman berzaman lagi. Tak ada seorang pun yang jadi papa kerana menderma. Makin kaya adalah,” katanya lagi.

Beliau turut menafikan tuduhan kononnya pemimpin Pas hidup bermewah-mewah dengan hasil daripada kutipan penyokongnya.

“Siapa kata, penyokong hulur derma dalam tin milo, tapi pemimpin Pas bermewah-mewah makan duit derma? Pengikut melarat pemimpin bergaya,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad muncul dalam klip video dengan muka sedih dan suara pilu merayu orang ramai untuk menderma kepada PPBM bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Terdahulu, PPBM melancarkan kempen derma atas talian daripada orang ramai. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.