Buruh Maut Ditetak, Disula

BELAGA – Sekumpulan pekerja ladang sawit dekat Sungai Maleh di sini, terkejut apabila menemui mayat rakan sekerja mereka dengan kesan tetakan pada leher dan tusukan pada punggung, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Melay Tingom, berkata sepasukan anggota polis diketuai Pegawai Penyiasat, Inspektor Sandes Edwin Umpang, bergegas ke lokasi yang mengambil masa empat jam perjalanan dari Pekan Belaga, sebaik menerima laporan daripada pengurus ladang terbabit.

“Mangsa berusia 29 tahun yang juga seorang warga Indonesia itu, dikesan mati akibat kecederaan serius di bahagian leher dan punggungnya dipercayai dirodok dari arah belakang menggunakan senjata tajam.

“Pemeriksaan di lokasi menemui sebilah tombak dengan kesan darah kira-kira tiga meter dari mayat mangsa. Kita tidak menolak kemungkinan tombak itu digunakan dalam pembunuhan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Melay berkata, polis turut menemui sebilah parang dipercayai milik mangsa di lokasi, berikutan sarung parang pada pinggang lelaki itu.

“Ada kemungkinan mangsa menggunakan parang berkenaan untuk mempertahankan diri sejurus diserang individu tidak dikenali.

“Usaha sedang giat dijalankan bagi mengenalpasti motif sebenar kejadian itu, termasuk individu yang menyerang mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat, lapor BH

“Kejadian diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kita menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana kes masih dalam siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.