Video: Kemalangan Basikal ‘Trajidi’ Era Najib, Kenyataan Zam Memalukan Wartawan

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Pengarang Utusan Malaysia Tan Sri Zainuddin Maidin mengaitkan insiden kemalangan basikal melibatkan remaja di Johor Bahru, Sabtu lepas dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai kenyataan memalukan.

 

Bekas Pengarang News Straits Times, Datuk Ahiruddin Attan berkata, Zainuddin atau nama jolokannya Zam, harus mengakui kesilapan dilakukannya dengan menjadikan tragedi yang menyebabkan 8 remaja maut itu sebagai isu politik.

 

“Sebagai seorang wartawan yang melihat tokoh wartawan berperangai seperti ini,  saya berasa malu dengan kelakuan Zam.

 

“Walaupun dia ini tokoh wartawan, walaupun nama dia ketika ini tinggi menjulang langit, dia patut mengakui dia sudah melakukan kesilapan sewaktu dia sedang marah kepada Najib,” kata Ahiruddin ketika dihubungi Malaysian Digest.

 

Zam pada Sabtu lepas mendakwa insiden kemalangan basikal di Johor, baru-baru ini menambah tragedi kepada era pentadbiran Najib selepas kejadian wad ICU di Hospital Sultanah Aminah terbakar pada Oktober tahun lepas.

 

Mengulas lanjut mengenai sikap pemarah Zam, Ahiruddin menjelaskan kelantangan dan kegopohan Zam kali ini bukanlah insiden kali pertama ekoran beliau sebelum ini juga pernah menyebabkan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia menerusi penulisannya sebelum ini.

 

“Yang orang tahu dia marah je. Lepas tu dengan kes dengan (bekas Presiden Indonesia) Habibie pun dia menggelupur juga. Sehinggakan pertalian Malaysia dan Indonesia pada waktu itu tegang di sebabkan Zam,” katanya merujuk kepada penulisan Zainuddin menghina Habibie pada 2012.

 

Tambahnya lagi, Zainuddin sewaktu mengalas jawatan sebagai Menteri Penerangan sewaktu era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga cepat melatah apabila disoal wartawan antarabangsa Al-Jazeera berhubung himpunan Bersih 2.0 tahun 2007.

 

“Temubualnya bersama al jazeera, beliau menggelupur dalam bahasa inggeris. Orang tak faham apa yang dia cuba sampaikan,” katanya lagi.

 

Dalam pada itu, penganalisis politik, Zakhir Mohamed menganggap kenyataan Zainuddin sebagai politik longkang dan tidak wajar dinyatakan oleh seseorang veteran politik.

 

“Dia bukan orang bawahan ekoran kedudukannya kini sudah tinggi. Dia memilih untuk membuat komen-komen yang politik longkang ini mencerminkan Zam ini seorang yang bankrap politik,” kata Zakhir.

 

Tambahnya, kejadian yang menimpa keluarga remaja di Johor Bharu ini bukannya dirancang oleh kerajaan sepertimana kerajaan juga tidak meminta pesawat Malaysia Airlines System (MAS) MH17 ditembak di sempadan Ukraine-Russia.

 

“Sama juga sewaktu pemerintahan Dr Mahathir, kita tidak minta Highland Tower roboh, 40 orang meninggal. Kita tak patut kaitkan ianya kepada zaman Dr Mahathir.

 

“Bukan dasar Dr Mahathir berlakunya tragedi runtuhkan Highland Tower dan bunuh 40 orang,” tegasnya.

 

Tambahnya lagi, keceluparan Zam menunjukkan tahap pemikirannya yang cetek sungguhpun menggalas jawatan yang tinggi selama ini.

 

“Dari segi jawatan dan pangkat, Zam sudah mencapai tahap tinggi tetapi pemikiran dia tidak.

 

“Itu sebabnya dia buat kenyataan sebegini. Dia ni mungkin cacat knowledge,” katanya lagi. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.