Tujuh Ditahan Paksa Lelaki Telan Objek Seperti Peluru

JOHOR BAHRU – Tujuh lelaki ditahan hari ini dan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pemandu lori ayam dipaksa menelan enam objek menyerupai peluru pistol di Taman Lian Seng, dekat Kluang, Khamis lalu.

 

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata penahanan suspek yang berusia 23 hingga 43 tahun itu turut membabitkan seorang majikan mangsa.

 

Mereka ditahan di empat lokasi berbeza iaitu di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini serta Taman Sri Tengah, sebuah inap desa dan restoran di Jalan Bulan dan Jalan Sekolah dekat Kluang.

 
Mohamad berkata dalam kejadian 11 malam itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun itu turut dipukul, diikat dengan tali, didera dengan laser gun di bahagian kaki, tangan, badan serta kepala.

 

“Mangsa diperlakukan sedemikian kerana dituduh mencuri stok barang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mohamad berkata maklumat mengenai kejadian diterima daripada seorang pegawai perubatan hospital swasta yang merawat dan mengeluarkan butir objek berkenaan daripada mangsa, pagi semalam.

 

Katanya, berdasarkan semakan, didapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dikehendaki bersabit satu kes di daerah Batu Pahat dan seorang lagi suspek pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

 

Saringan pemeriksaan air kencing turut mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

 

“Polis turut merampas beberapa barangan daripada suspek iaitu sebuah kereta jenis Toyota Hilux, empat unit telefon bimbit, dua beg sandang, sebungkus plastik putih mengandungi sejumlah pil ekstasi, lapan butir objek menyerupai peluru dan satu pemetik api menyerupai pistol,” katanya.

 

Kesemua suspek kini direman mulai hari ini hingga 22 Februari untuk siasatan lanjut. –Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.