Trump Salahkan FoxNews Berhubung Isu Pendatang Di Sweden

WEST PALM BEACH: Presiden Donald Trump mendakwa kenyataan berhubung insiden keselamatan membabitkan pendatang di Sweden dibuat berdasarkan laporan berita FoxNews televisyen yang disaksikannya.

 

Trump berkata demikian selepas dikecam berikutan kenyataannya pada satu perhimpunan semalam bahawa Sweden sedang berhadapan dengan masalah pendatang yang serius.

 

“Anda tengok apa yang sedang berlaku malam tadi di Sweden. Sweden. Siapa yang akan percaya? Sweden. Mereka menerima (pendatang) dalam jumlah yang besar. Mereka menghadapi masalah yang tidak dijangka akan berlaku,” katanya.

 

Bagaimanapun, perkara yang didakwa Trump itu tidak berlaku di Sweden dan kerajaan negara itu mendesak Jabatan Negara AS memberikan penjelasan.

 

“Kenyataan saya mengenai apa yang berlaku di Sweden adalah merujuk kepada laporan yang disiarkan di @FoxNews mengenai pendatang dan Sweden,” kata Trump menerusi Twitter.

 

Fox News, saluran televisyen AS yang sering menjadi pilihan Trump, Jumaat lalu melaporkan mengenai masalah jenayah membabitkan pendatang di negara itu.

 

Jurucakap Rumah Putih menjelaskan Trump secara amnya merujuk kepada peningkatan kadar jenayah, bukannya kepada insiden khusus di negara Scandinavia itu.

 

Di Stockholm, jurucakap Kementerian Luar, Catarina Axelsson, membidas kenyataan Trump itu dan berkata: “Kami sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan”.

 

Sementara itu, statistik rasmi menunjukkan, kadar jenayah di Sweden berkurangan sejak 2005, walaupun negara itu mengambil beribu-ribu pendatang dari Syria dan Iraq.- Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.