‘Seleweng Dana Rakyat, Jangan Harap Boleh Lari’

BALING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertegas untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menyeleweng peruntukan disalurkan kerajaan kepada rakyat.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, mereka terlibat tidak sesekali terlepas daripada siasatan serta tangkapan SPRM.

 

Menurutnya, negara dan negeri perlu dipastikan ditadbir mengikut proses undang-undang tanpa adanya gejala rasuah dan salah guna kuasa.

 
“Apa-apa peruntukan yang sepatutnya diterima rakyat bawahan perlu sampai dan kami akan melaksanakan tugas itu. Kita akan pastikan bahawa seluruh peruntukan bagi pembangunan negara dapat dilaksanakan.

 

“Jika ada aduan dan laporan daripada orang kampung kita akan jalankan siasatan serta tindakan undang-undang,”katanya dalam ucapan majlis perasmian surau An-Najah di Kampung Carok Kapas di sini, hari ini.

 

Menurutnya, SPRM akan menjalankan tugas sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

 

“Bila pihak kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, dengan izin Allah negara kita akan aman dan lebih makmur. Rakyat juga akan menikmati segala bentuk pembangunan yang sepatutnya mereka terima.

 

“Tolong doakan supaya ALLAH memberikan kekuatan petunjuk, hidayah kepada kami. Tolong doakan Allah berikan perlindungan kepada SPRM dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas agar negara ini bebas rasuah,”katanya.

 

Terdahulu, Dzulkifli mengimamkan penduduk dan kakitangan SPRM dalam solat Zohor di Surau An-Najah Kampung Charok Kapas.

 

Beliau yang berucap di hadapan ratusan penduduk turut mengingatkan wakil rakyat di Baling bahawa tindakan tegas turut menanti mereka sekiranya terbukti terlibat dengan salah guna kuasa.

 

“Kita datang sini juga untuk beritahu sesuatu kepada wakil rakyat, “senyum-senyum juga, kawan pun kawan juga”, tetapi jika salah kami akan ambil tindakan,”katanya.

 

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Adun Kupang, Datuk Harun Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zulkiflee Abd Rahman serta kakitangan Pejabat Parlimen Baling.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!