Pakistan Bunuh 100 Pengganas

SEHWAN, Pakistan – Pihak berkuasa Pakistan telah berjaya membunuh lebih 100 pengganas sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan Daesh di makam Sufi yang menyebabkan 88 maut pada Khamis lalu.

 

“Lebih 100 orang pengganas berjaya dibunuh sejak malam kelmarin,” ujar kenyataan pihak tentera dengan menambah sejumlah lagi telah ditahan dalam operasi sama.

 

Kebangkitan kumpulan Daesh dan Taliban menjadi tamparan hebat kepada Pakistan dan sera­ngan tersebut menjejaskan keyakinan terhadap kese­lamatan negara selepas beberapa dekad meme­rangi militan.

 

Pihak polis bergegas mengetatkan kawalan terhadap makam Lal Shahbaz Qalandar iaitu seorang ulama abad ke-13 di Sehwan, kira-kira 200 kilometer dari Karachi.

 

Makam lama yang berlantaikan marmar putih dicemari dengan darah, ka­sut-kasut, tudung dan botol susu bayi selepas letupan bom bunuh diri oleh anggota Daesh.

 

Pasukan keselamatan memberitahu, jumlah orang awam yang terkorban dalam serangan tersebut meningkat kepada 88 orang termasuk sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak menjadikannya serangan maut ter­tinggi di Pakistan sejak serangan ke atas sebuah sekolah di Peshawar pada tahun 2014.

 

Perdana Menteri, Nawaz Sharif dan Ketua Pasukan Tentera, Jeneral Qamar Javed Bajwa kelmarin melawat bandar Sehwan di wilayah Sindh yang menjadi lokasi serangan terbaharu.

 

Nawaz berjanji akan menghapuskan militan dengan menggunakan sepenuhnya kekuatan tentera. Tentera Pakis­tan menyatakan, operasi membanteras sedang giat dijalankan di seluruh negara. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.