Nafi ‘Strawberry Quick’ Masuk Ke Negara Ini

MELAKA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan kemasukan dadah baharu yang dikenali sebagai ‘Strawberry Methamphetamine’ atau ‘Strawberry Quick’ di negara ini seperti yang kini tular di media sosial.

 

Timbalan Ketua Pengarah AADK Datuk Izhar Abu Talib berkata dadah berkenaan mula diedar dan digunakan di Amerika Syarikat dan negara Arab diikuti benua India dan Asia Tenggara namun ia masih tidak memasuki negara ini.

 

“Ianya (dadah itu) hanya diedar dan digunakan pelajar sekolah di New Delhi, India sebelum digunakan lebih meluas pada 2010…asalnya diguna dan diedarkan di Amerika Syarikat pada 2007,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Harm Reduction: Melaka Menuju Bebas HIV 3.0 bersempena Melaka Car Free Zone di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Izhar berkata walaupun dadah berkenaan belum dikesan di pasaran negara ini, masyarakat khususnya ibu bapa disaran tidak memandang ringan atau bertindak lepas tangan terhadap isu dadah baharu yang diperkatakan itu.

 

Beliau berkata ini kerana dadah berkenaan tidak mustahil akan memasuki negara ini dan ibu bapa perlu peka terhadap pergerakan, pergaulan serta tingkah laku anak mereka serta anggota keluarga.

 

“Kemunculan dadah baharu berkenaan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan pembungkusan yang mana dadah ini menyasarkan golongan pelajar sekolah,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata tiga peratus daripada jumlah 44,800 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di negara ini didapati positif dadah berdasarkan hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap mereka sepanjang tahun lepas.

 

“Kedah merekodkan angka pelajar positif dadah paling tinggi diikuti Kelantan, Perak dan Pulau Pinang dalam kalangan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah,” katanya.

 

Katanya 2.5 peratus daripada 3,500 pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) pula dikesan positif dadah pelbagai jenis sepanjang tahun lepas. –Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.