Keluarkan Arahan Larangan Keluar Lewat Malam

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor dicadang mengeluarkan arahan melarang remaja bawah umur berada di kawasan bandar raya, termasuk di jalan raya mahupun lokasi tertentu pada lewat malam.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, arahan larangan itu bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, awal pagi semalam.

 

Menurutnya, sebagai wakil rakyat, dirinya telah meminta polis untuk bertindak, namun tindakan yang keras dari sudut perundangan tidak boleh dilakukan kerana golongan terbabit merupakan remaja bawah umur.

 
“Polis ada kuasa yang terhad untuk mengawasi mereka yang bawah umur.

 

“Jadi kerajaan negeri sendiri boleh mengambil satu ketetapan untuk melarang budak-budak ini daripada berkeliaran pada waktu malam khususnya di kawasan jalan raya utama yang berbahaya seperti ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baru Cina di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini.

 

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemalangan yang meragut nyawa lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di sini awal pagi semalam.

 

 

Nur Jazlan berkata, dengan arahan larangan seperti yang dicadangkan, polis dapat mengambil tindakan dengan kerjasama pihak yang menyelia lokasi keberadaan sesebuah kumpulan remaja bawah umur.

 

“Tuan punya tapak tersebut ada hak untuk membenarkan atau tidak sesiapa berada di atas tanah kawal selia mereka. Macam Dataran Bandaraya itu di bawah (kawal selia) MBJB.

 

“Jadi perlu ada satu arahan daripada kerajaan negeri supaya ada satu tindakan bersepadu dapat dibuat untuk membantu polis untuk mengambil tindakan di sini,” katanya.

 

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, pihak kementerian juga bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya cadangan berkenaan diterima oleh pihak kerajaan negeri bagi tujuan keselamatan golongan tersebut.

 

“Saya bukan suruh (mereka) berkurung, tapi melarang budak-budak ini daripada berkeliaran pada waktu malam. Tambah lagi di kawasan jalan raya utama yang berbahaya seperti ini

 

“Saya lontarkan cadangan ini, dan kita (KDN) sanggup bekerjasama dengan pihak pihak berkenaan untuk melaksanakannya,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, ibu bapa juga diminta untuk memastikan anak masing-masing tidak membenarkan untuk keluar pada lewat malam, kerana bimbang terhadap keselamatan mereka.

 

“Menjadi masalah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan. Dalam sesetengah kes, bila polis ambil tindakan, ibu bapa pula marah polis.

 

“Itu sebab saya rasa perkara ini perlu diberikan perhatian lebih serius, dan beban ini diletakkan kepada ibu bapa,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.