Karya Sia Jadi Berlian

Bintang ternama, Sia barangkali baru mula menjadi ikutan peminat muzik arus perdana namun bakat­nya bukan sekadar kepada nyanyian. Bahkan, pemilik nama penuh Sia Kate Isobelle Furler, 41, itu sudah lama digeruni dalam bidang penciptaan lagu.

 

Di Barat, dia bukan dikenali sebagai penyanyi, sebaliknya komposer dan penulis lagu yang sangat luar biasa. Sentuhannya bukan calang-calang dan hingga kini puluhan lagu hit pernah dihasilkannya.

 
Komposer kelahiran Adelaide, Australia itu sudah berhijrah ke London sejak 1997 kemudian meluaskan empayarnya di Amerika Syarikat (AS) pula. Sehingga kini, puluhan artis pernah mendapatkan khidmatnya.

 

Bagaimanapun, hanya pada 2011 barulah namanya mula menjadi sebutan apabila beberapa karyanya menjadi ‘berlian’. Pada 2014, Sia menakluk dunia selepas lagu-lagu dalam album 1000 Forms of Fear meledak.

 

BLING! menyenaraikan 10 lagu yang pernah dicipta Sia.

 

1. CHANDELIER (Sia)

 

Lagu dendangan dirinya sendiri ini menjadi melodi keramat apabila mencipta fenomena hebat. Bukan saja pada iramanya yang unik, bahkan video muziknya menjadi ganjil. Dalam video berkenaan, Sia menampil­kan Maddie Ziegler sebagai watak utama dengan koreografi pelik.

 

2. DIAMONDS (Rihanna)

 

Menjadi antara lagu berhantu Rihanna, kekuatan Diamonds sememangnya terletak pada melodi yang begitu luar biasa. Liriknya juga mudah ditangkap dan diingat membuatkan ia mesra di telinga. Meskipun ia seperti mengambil masa lama untuk dihasilkan, hakikatnya Sia cuma mengambil masa 14 minit saja mendapat ilham itu. Malah rakaman demo untuk lagu itu disiapkan dalam masa satu malam saja!

 

3. PERFUME (Britney Spears)

 

Lagu ini mungkin menampilkan konsep yang begitu seksi sesuai dengan gaya Britney, namun penceritaan lagunya begitu mendalam. Sia benar-benar berjaya mencipta satu karya yang sempurna untuk Britney. Buktinya, lagu itu terus membawa Britney ke dimensi muzik lebih jauh berbanding sebelumnya.

 

4. LET ME LOVE YOU (Ne-Yo)

 

Lagu ini antara lagu Ne-Yo yang paling hit. Berbaloilah kerana sebanyak enam komposer terbabit dalam penghasilan lagu berkenaan termasuklah Sia. Meskipun Sia hanya terbabit dalam mencari melodi untuk bahagian korus, bagaimanapun namanya tetap diangkat yang terpenting dalam kejayaan lagu itu. Bahkan, dia turut meminjamkan vokalnya demi menjadikan karya berkenaan lebih sempurna.

 

5. PRETTY HURTS (Beyonce)

 

Lagu ini boleh dikatakan bukanlah semesra mana pun di telinga peminat mahupun corong radio. Bagaimanapun, mesej yang ditonjolkan sung­guh berat dan menyentuh realiti dalam kehidupan. Di YouTube saja, video muziknya mendapat tontonan lebih 167 juta membuktikan ia sebenarnya lagu yang mampu menaikkan sema­ngat seseorang berdasarkan liriknya. Lebih menarik, lagu ini sebenarnya ditawarkan kepada Katy Per­ry namun ditolak sebelum dibuka kepada Beyonce dan Rihanna. Namun Beyonce menyambarnya dulu!

 

6. YOU LOST ME (Christina Aguilera)

 

Siapa boleh menafikan vokal Christina Aguilera, apa lagi kalau lagu balada. You Lost Me benar-benar menjadi antara lagu yang meninggalkan impak sepanjang karier seni Christina. Dia menyifatkan kerjasama dengan Sia adalah satu impian jadi kenyataan. Menerusi lagu itu, ia berjaya melonjakkan lagi nama Christina di mata peminat genre pop.

 

7. FLASHLIGHT (Jessie J)

 

Sebaik lagu ini dilancarkan pada 2015, ia terus meledak dan menguasai setiap carta. Lagu berhantu Jessie itu sememangnya mempunyai magis sendiri dan lirik mendalamnya boleh dikaitkan dengan kehidupan setiap orang. Untuk lagu itu, Sia turut bekerjasama dengan penyanyi hebat, Sam Smith bagi menghasilkan melodi indah berkenaan. Ia juga dihasilkan sebagai lagu runut bunyi untuk filem Pitch Perfect 2 dan menjadi lagu pembakar semangat buat semua golongan.

 

8. TITANIUM (David Guetta ft. Sia)

 

Inilah lagu yang berjaya memperkenalkan lagi Sia dalam arus perdana. Lebih ba­nyak di belakang tabir sebelum ini, akhirnya suara misteri Sia dalam lagu ini merungkai kehebatan nyanyiannya. Dilengkapkan pula dengan melodi rentak muzik tari elektronik oleh David, lagu ini antara yang masih bertahan dimainkan di pelbagai jenis acara sehingga saat ini.

 

9. MAKING THE MOST OF THE NIGHT (Carly Rae Jepsen)

 

Pada 2013, Sia memuji Carly di Twitter dan berkata, dia seorang pencipta lagu yang bagus selepas kejayaan Call Me Maybe. Pada 2015, dia kemudian menyumbangkan lagu untuk penyanyi itu pula termasuk lagu ini. Terkenal dengan lagu-lagu yang lebih kepada lirik ringan dan remaja, Sia berjaya menonjol­kan kematangan Carly pada lagu berkenaan.

 

10. SEXERCIZE (Kylie Minogue)

 

Bukan saja mencipta lagu untuk album ke-12 Kylie iaitu Kiss Me Once, Sia juga menjadi penerbit eksekutif untuk album berkenaan selepas Kylie menawarkannya peranan itu. Dia menyifatkan kerjasama itu memang sangat menyeronokkan. Mana tidaknya, dia sendiri sudah lama me­ngagumi Sia.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.