Jong Nam Mahukan Pembaharuan Politik Korea Utara

TOKYO – Abang tiri kepada pemerintah tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, Kim Jong-nam dikatakan seorang lelaki yang berani kerana sentiasa berusaha untuk melihat pembaharuan dalam politik negaranya, kata seorang wartawan Jepun kelmarin.

 

Penulis kanan akhbar Tokyo Shimbun, Yoji Gomi berkata, dia yang menghasilkan buku mengenai Jong-nam pernah bertemu dan kerap berhubung de­ngan mendiang sebelum ini.

 

Jong-nam dibunuh Isnin lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dipercayai diracun oleh dua wanita ketika dalam perjalanan pulang ke Macau, China.

 

“Walaupun mungkin meletakkannya dalam bahaya, beliau sentiasa menyuarakan pandangan mengenai Pyongyang kepada saya atau media lain,” ujar Gomi.

 

Gomi berkata, Jong-nam memberitahunya, dia tidak pernah bertemu dengan Jong-un yang mengambil kuasa daripada bapa mereka, Kim Jong-il.

 

Hubungan Gomi dan Jong-nam bermula selepas mereka kebetulan bertemu di lapangan terbang antarabangsa Beijing pada tahun 2004.

 

Mereka kemudian bertukar kiriman e-mel pada tahun 2010. Gomi turut me­nemu ramah Jong-nam di Macau dan Beijing pada tahun 2011. Perhubungan terakhir adalah menerusi e-mel yang diterima pada Januari 2012, iaitu seminggu selepas kematian Jong-il.

 

Gomi memberitahu, Jong-nam mahukan perubahan ekonomi kepada Korea Utara sama seperti yang berlaku di China sejak akhir 1970-an.

 

“Beliau menyatakan satu-satunya jalan yang membolehkan Korea Utara untuk terus bertahan adalah melalui reformasi dan liberalisasi seperti yang dilakukan China.

 

“Jong-nam mengkritik sistem Korea Utara. Beliau menyatakan kuasa sepatutnya tidak bergantung kepada warisan,” ujar Gomi. – AFP/Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.