Jelajah Umno Seluruh Negara Mac Ini

KUALA LUMPUR – Umno dengan kerjasama komponen BN akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bermula awal Mac depan.

 

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu melibatkan pucuk pimpinan komponen BN secara intensif.

 

“Setiap program akan ambil masa dua hari dan kita akan berkampung di negeri yang dipilih untuk adakan program secara berterusan. Ia turut melibatkan ahli Parlimen BN dan juga pimpinan penerangan dari seluruh negeri.

 
“Banyak isu yang dibangkitkan terutama pembangkang yang mesti kita jelaskan. Walaupun penerangan diberikan sebelum ini, namun kita tidak boleh mudah berpuas hati, kita mesti berusaha untuk pergi ke satu tahap lagi,” katanya pada sidang media, semalam.

 

Katanya, selain siri jelajah, Umno juga turut mempertingkatkan pelbagai alternatif untuk menyalurkan maklumat tepat mengenai parti.

 

“Kita berasakan adalah keperluan untuk meningkatkan intensiti penerangan dan penjelasan, melibatkan saluran terbaik seperti gerakan penerangan secara bersemuka dengan mengadakan ceramah di pelbagai peringkat.

 

“Kita tidak memberi ruang kepada gerakan lain untuk memberikan persepsi yang salah terhadap kerajaan menjelang PRU14,” katanya.

 

Annuar berkata, begitu juga gerakan bersama melalui penyebaran maklumat di media konvensional, elektronik dan cetak, diharap jentera penerangan dapat bekerjasama dengan semua media supaya penyebaran maklumat tepat dapat dipertingkatkan.

 

“Seterusnya, gerakan penerangan akan intensifkan gerakan yang menggunakan media baharu kerana kita tahu, media baharu juga banyak maklumat tidak tepat terus tersebar,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau menafikan usaha itu adalah persiapan akhir parti itu untuk berhadapan PRU14, yang didakwa berlaku tahun ini.

 

“Soal bila PRU14 berlaku, itu perlu diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tapi saya rasa beliau pun belum tahu. Yang pasti, PRU14 akan tetap diadakan sebelum pertengahan 2018 mengikut apa yang ada dalam perlembagaan negara,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.